Malaysia tak gentar
Malaysia mara ke pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 berbekalkan kemenangan 2-0 pada aksi pertama di Shah Alam 23 Februari lalu.
Kini semua mata tertumpu kepada majlis undian pusingan kedua yang akan berlangsung di Rumah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Bukit Jalil pada 30 Mac ini.
Untuk aksi pusingan kedua secara timbal balik pada 19 dan 23 Jun depan, Malaysia bersama 10 lagi pemenang pusingan pertama bakal diundi bertemu 13 pasukan yang mendapat bye pada pusingan pertama.
Kemungkinan lawan Malaysia pada pusingan kedua itu ialah Australia, Bahrain, China, Korea Utara, Korea Selatan, Jepun, Iraq, Lebanon, Qatar, Arab Saudi, Syria, Uzbekistan atau Vietnam.
Jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee berkata, beliau tidak gentar siapa yang bakal ditentang pada pusi- ngan kedua nanti sambil menyuarakan keyakinan Malaysia mampu mencipta kejutan.
“Tiada mana-mana pasukan saya harapkan untuk diundi bertemu nanti. Ini kerana, jika telah mendapat bye, sudah tentu mereka semua pasukan yang bagus.
“Tetapi kita tidak akan menye- rah kalah sebelum turun beraksi dan akan memberi saingan. Dengan persiapan rapi, tak mustahil untuk kita mencipta kejutan,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! di Lahore semalam.
Andai berjaya melepasi pusingan kedua, Malaysia berpeluang menjadi 12 pasukan terbaik Asia yang akan dipecahkan kepada tiga kumpulan untuk bersaing dalam enam perlawanan sepanjang 21 September 2011 hingga 14 Mac 2012.
Hanya juara setiap kumpulan akan layak ke Sukan Olimpik 2012 di London manakala tiga naib juara bakal bertarung merebut satu slot pertemuan playoff dengan pasukan di tangga keempat saingan kelayakan zon Afrika.
Diminta mengulas aksi para pemainnya di Lahore kelmarin, Kim Swee berkata, sasaran untuk tidak melepaskan sebarang gol berjaya dicapai biarpun mereka gagal meraih kemenangan.
“Seperti dijangka, Pakistan mengasak dari awal tetapi pemain kita telah menjalankan tugas dengan baik. Cuma keadaan padang yang teruk tidak membenarkan kita bermain mengikut rentak sebenar.
“Pada babak kedua, kita mula menguasai permainan dengan mendapat tiga percubaan terbaik tetapi gagal disempurnakan dengan baik,” ujarnya.
-------------------------------------------------
Harap tuah
aziman@hmetro.com.my
SEKADAR mengharapkan tuah undian pada pusingan kedua kelayakan Olimpik 2012 bukan cara terbaik buat skuad negara melangkah lebih jauh dalam pemburuan slot ke temasya sukan terbesar di dunia itu.
Mungkin ia satu kejayaan buat anak buah Ong Kim Swee apabila mengatasi Pakistan dengan agregat 2-0 meskipun sekadar seri 0-0 pada perlawanan kedua di Lahore kelmarin.
Namun kemampuan skuad negara sebenarnya bakal diuji apabila berentap di pusingan kedua Jun depan kerana lawan yang menanti bukan calang-calang pasukan.
Malaysia bersama 10 lagi pasukan yang mara ke pusingan kedua akan diundi bersama 13 lagi pasukan pilihan, Australia, Bahrain, China, Korea Utara, Korea Selatan, Jepun, Iraq, Lebanon, Qatar, Arab Saudi, Syria, Uzbekistan dan Vietnam yang mendapat bye pada pusingan awal.
Sememangnya tidak dinafikan untung nasib skuad negara banyak bergantung kepada keputusan undian yang akan diketahui pada 30 Mac ini namun Kim Swee tetap menganggap nasib mereka sebenarnya bergantung kepada diri mereka sendiri.
“Layak ke pusingan kedua adalah satu kejayaan dan ini pastinya dapat menyuntik moral kepada semua pemain. Cabaran lebih berat selepas ini memandangkan kita akan diundi bersama pasukan gergasi Asia seperti Jepun, Korea Selatan dan Australia.
"Apa yang penting pasukan negara perlu bersedia kerana mana-mana pasukan yang akan ditentang pada pusingan kedua adalah kuat, tidak ada pasukan yang lemah kerana sebab itulah mereka diletakkan sebagai pasukan pilihan,” katanya yang dihubungi Arena Metro di Lahore semalam.
Pusingan kedua yang diadakan secara timbal balik akan berlangsung pada 19 dan 23 Jun depan dengan 12 pemenang dari pusingan itu akan meneruskan persaingan di peringkat kumpulan bermula 21 September hingga 14 Mac 2012. Juara daripada tiga kumpulan akan mendapat tempat ke Olimpik London 2012 manakala naib juara akan bermain secara round robin sebelum menentang wakil Concacaf bagi merebut satu lagi slot.
Mengulas mengenai perlawanan kedua dengan Pakistan di Stadium Punjab Lahore kelmarin, Kim Swee berpuas hati dengan aksi pemain biarpun bahagian serangan masih tumpul.
“Kami turut mencipta peluang walaupun diasak oleh Pakistan seperti percubaan Wan Zaharulnizam (Wan Zakaria) yang terkena palang. Keadaan padang tak berapa elok jadi susah untuk kami membuat hantaran pendek. Saya memang puas hati kerana yang mustahak pemain bermain dengan baik dan layak ke pusingan kedua,” katanya.
Skuad yang dibarisi sebilangan besar pemain Harimau Muda A ini akan tiba di KLIA dari Karachi pagi ini sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu bagi menghadapi perlawanan Liga Super menentang Sabah malam esok.
No comments:
Post a Comment
jangan lupa untuk tinggalkan jejak!!!