hadith of the day

pendokong

02 January 2011

Selamat Memulakan Semester Baharu

Jurutera Terbang Masih Kurang


Sebahagian 19 penerima Diploma in Aviation Management bergambar selepas majlis konvokesyen di Bangi, semalam. - Gambar MOHD. NOOR AMIN












KUALA LUMPUR 30 Dis. - Bilangan graduan dalam bidang kejuruteraan berkaitan penerbangan dan aeroangkasa yang dilahirkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini masih terlalu kecil dan ia tidak mampu memenuhi permintaan pasaran kerja semasa.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pada masa ini terdapat enam IPTA menawarkan pengajian dalam bidang berkenaan dan ia hanya melahirkan 180 jurutera setiap tahun.

Jelas beliau, enam IPTA berkenaan adalah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

''Bukan hanya permintaan pasaran tempatan, sebenarnya di rantau Asia Tenggara sahaja seramai 1,000 jurutera penerbangan dan aeroangkasa diperlukan setiap tahun. Selain enam IPTA di negara ini terdapat enam lagi universiti di negara Asia Tenggara lain menawarkan pengajian sama dan ia masih tidak mencukupi.

''Atas dasar itu, kementerian sedang berusaha untuk menggandakan jumlah graduan supaya Malaysia mampu menjadi negara pengeluar tenaga kerja profesional dalam bidang berkaitan,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Pertama Kolej Pengurusan Penerbangan (AMC) di Bangi, dekat sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Eksekutif AMC, Kapten Ab. Manan Mansor.

Pada majlis itu, 19 graduan sulung Diploma Pengurusan Penerbangan menerima sijil masing-masing dengan Muhammad Umar M.A. Rasul, 22, diumum sebagai penuntut terbaik.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata, dalam usaha menggandakan bilangan graduan berkenaan, kementerian telah menyarankan agar enam IPTA terbabit menjalin kerjasama antara satu sama lain.

''Melalui kerjasama itu setiap IPTA disaran berkongsi dan bertukar kemudahan pengajian antara mereka. Ia akan menjadikan IPTA itu saling melengkapi dan seterusnya mampu menggandakan jumlah graduan berkaitan,'' katanya.

Menurut beliau, bidang kejuruteraan penerbangan dan aeroangkasa adalah bidang yang menjanjikan masa depan cerah terutama di rantau Asia Pasifik.

''Saya difahamkan, sebanyak satu pertiga daripada jumlah penerbangan dan kewangan berkaitan penerbangan berada di wilayah Asia Pasifik termasuk Malaysia,'' katanya.

Mengenai institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pula, beliau memberitahu, AMC adalah antara contoh IPTS yang menawarkan pengajian bukan berasaskan kejuruteraan berkaitan penerbangan dan aeroangkasa.

Jumlah IPTS seumpama itu jelasnya, cukup kecil dan hanya mampu melahirkan 250 graduan setahun.

''Atas dasar itu, kementerian akan cuba membantu IPTS berkenaan agar dapat menyediakan lebih ramai tenaga profesional dan sokongan,'' tambahnya.

p/s : masih menduga jalan yang perlu ditempuhi selepas ini... moga dipermudahkan oleh-Nya Insya-Allah...

No comments:

Post a Comment

jangan lupa untuk tinggalkan jejak!!!

Related Posts with Thumbnails