hadith of the day

pendokong

10 November 2010

BAJET 2011... antara realiti dan realisasi...

Teks Ucapan Bajet 2011

Ucapan pembentangan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak.

"Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi"

"Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi 2011 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu" dibaca bagi kali kedua.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,

Firmannya:

"Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu yakni kebahagiaan negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari kenikmatan duniawi dan berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi". (Surah Al-Qasas, ayat 77)

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dan segala kepujian dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala yang telah mengizinkan saya, membentangkan Bajet Negara bagi tahun 2011.

Sesungguhnya, ini bukan bajet yang lazim. Bajet ini amat bermakna sebagai helaian-helaian pembuka tirai kepada pusingan akhir ke arah Wawasan 2020 yang bakal menjelang kira-kira 3,365 hari atau sembilan tahun dua bulan dan 17 hari lagi.

2. Justeru, pada petang Jumaat yang mulia ini, penghulu segala hari, saya akan meletak bata-bata pengmuktamad serta memahat paku-paku pelengkap sekali gus menaikkan layar Bahtera Malaysia menuju ufuk negara maju.

Hakikatnya, sejak 18 bulan lalu Kerajaan telah mempersiapsiagakan ceracak-ceracak yang kukuh sebagai asas lonjakan seterusnya kepada perjalanan Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

3. Sesungguhnya, Bajet ini digubal dengan penuh keazaman untuk mendokong perubahan besar kepada kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.

Proses transformasi ini dilaksanakan secara holistik meliputi aspek ekonomi, sosial dan politik.

4. Bajet 2011, mendakap semangat dan realiti pentadbiran terkini yang mengangkat Konsep 1Malaysia sebagai falsafah induk yang memandu hala tuju negara.

Pelan Transformasi Kerajaan atau GTP dan Pelan Transformasi Ekonomi yakni ETP pula menjadi Peta Panduan.Enam NKRA, Model Baru Ekonomi dengan lapan terasnya pula membentuk Kerangka Kerja kepada arah tuju tersebut.Seterusnya, perinciannya sedang dan akan diterjemah melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) dan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11).

5. Sememangnya lagi, seperti mana yang saya sering utarakan, era kerajaan tahu segalanya sudah pun berakhir.

Lantaran, dalam menggubal Bajet ini, Kerajaan telah merundingi dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak terdiri daripada sektor awam, sektor swasta, focus group (kumpulan tumpuan), sumbangan media massa, cadangan blog 1Malaysia serta sesi-sesi makmal.

6. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit. Inilah kekuatan 1Malaysia, inilah berkat gabungan percambahan idea dan gandingan usaha gigih yang telah dicurahkan.

Hati kuman sama dicicah, hati gajah sama dilapah. InsyaAllah saya yakin kita akan dapat menangani pelbagai cabaran dan rintangan yang dihadapi. Bahkan, lebih dari itu, bersama-sama kita pasti mampu keluar dari perangkap ekonomi berpendapatan sederhana serta melonjak ke tahap pembangunan yang jauh lebih tinggi.

7. Alhamdulillah, negara kita sudah berjaya pulih daripada kemelesetan ekonomi dunia berikutan daripada langkah proaktif yang telah diambil oleh Kerajaan dan pelaksanaan dua Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM67 bilion.

Kejayaan langkah ini, terbukti dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang pada 9.5 peratus bagi tempoh separuh pertama 2010, berbanding negatif lima peratus bagi tempoh sama tahun lalu. Prestasi ekonomi dunia, turut dijangka kembali pulih pada kadar 4.8 peratus berbanding negatif 0.6 peratus pada 2009. Begitu juga dengan perdagangan antarabangsa, berkembang 11.4 peratus berbanding negatif 11 peratus pada 2009.

8. Sementara di peringkat domestik, penunjuk utama turut mempamerkan pertumbuhan ekonomi kekal kukuh. Indeks Komposit Bursa Malaysia pula melonjak kepada 1,496 mata pada 14 Oktober 2010, antara tertinggi sejak Februari 2008.

Hasil eksport juga memberangsangkan bagi tempoh lapan bulan pertama 2010, ia meningkat sebanyak 22 peratus dan import 28 peratus, khususnya import barangan modal meningkat sebanyak 18 peratus.

9. Kedudukan ringgit pula, semakin kukuh dengan kadar pertukaran bagi AS$1 Amerika Syarikat mencecah 3.0833 pada 14 Oktober 2010.

Peningkatan 11 peratus sejak 31 Disember 2009, menjadikan ringgit antara mata wang yang paling teguh, di rantau ini. Rizab antarabangsa negara kekal padu, berjumlah RM310.8 bilion atau AS$100.7 bilion pada 30 September 2010. Ia mampu membiayai 8.5 bulan import tertangguh dan 4.3 kali lebih tinggi daripada hutang luar jangka pendek negara.

10. Dengan perkembangan positif ini, Kerajaan telah menyemak semula kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi 2010 kepada tujuh peratus, berbanding enam peratus sebelum ini.

Ia, jauh lebih tinggi berbanding negatif 1.7 peratus pada 2009. Prestasi memberangsangkan ini, akan diupaya oleh peningkatan pengeluaran sektor pembuatan yang berkembang pada 10.8 peratus, perkhidmatan 6.5 peratus dan pembinaan 4.9 peratus. Manakala perbelanjaan pelaburan dan penggunaan swasta masing-masing 15.2 peratus dan 6.7 peratus serta eksport 11.6 peratus.

11. Bagi 2011, pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia dijangka sederhana sebanyak 4.2 peratus dan tujuh peratus.

Selaras dengan itu, pertumbuhan ekonomi negara dijangka meningkat, pada kadar lima hingga enam peratus. Bagaimanapun, Kerajaan akan berusaha sedaya mungkin, untuk mencapai pertumbuhan enam peratus. Pertumbuhan ini akan didorong oleh pelaburan swasta sebanyak 10.2 peratus, penggunaan swasta 6.3 peratus dan eksport 6.7 peratus. Sektor pembuatan pula kekal menerajui pertumbuhan, berkembang 6.7 peratus dan perkhidmatan 5.3 peratus.

12. Pendapatan per kapita bertambah 6.1 peratus kepada RM28,000. Pendapatan per kapita mengikut kuasa beli pariti meningkat kepada AS$16,000.

Unjuran ini mengambil kira paras inflasi yang sederhana pada dua hingga tiga peratus dan kadar pengangguran kekal rendah pada 3.5 peratus.

13. Menyongsong strategi Bajet 2011 demi mencapai status negara maju yang diaspirasikan, kita tidak boleh lagi terpenjara dengan kelaziman. Kita mesti menerjang keluar dari belenggu pemikiran dan cara kerja yang biasa.

Pucuk pangkalnya, kejayaan menuntut kepada perubahan dan pembaharuan. Ia tidak boleh lagi berdikit-dikit tetapi menghambat lonjakan mega. Ternyata, apa yang dihadapkan kepada kita sangat jelas. Perubahan bukan lagi satu opsyen. Ia satu imperatif. Berubah atau kita akan ketinggalan.

14. Hatta, tawarikh menyaksikan, kita melakukan perubahan dan pembaharuan, kita berjaya mentransformasikan Malaysia daripada negara pertanian hingga menjadi antara negara pengeksport terbesar di dunia.

Dari itu, cabaran generasi kepimpinan hari ini adalah untuk membuat lonjakan seterusnya. Ia bukanlah satu kemustahilan. Dengan perancangan yang rapi seperti ini dan strategi yang jelas, mudah-mudahan kita akan berjaya.

15. Dalam pada itu, pola perdagangan luar semakin mencabar, manakala saingan menarik modal antarabangsa kian sengit.

Tambahan lagi, persekitaran ekonomi global kini, pantas bertukar. Dalam keadaan ini, sektor swasta perlu menyahut cabaran untuk menjadi peneraju pertumbuhan ekonomi yang lebih dinamik, kreatif dan inovatif. Mereka perlu lebih berani mengambil risiko, dan berani, merebut peluang yang ada. Yang pentingnya, Kerajaan akan menyediakan ekosistem yang terbaik bagi memastikan perkara ini boleh diterjemahkan.

16. Justeru, Bajet ini akan memberi tumpuan kepada usaha mentransformasi Malaysia, menjadi negara maju berpendapatan tinggi, berpembangunan inklusif dengan pertumbuhan mapan diterajui sektor swasta serta mendahulukan kesejahteraan rakyat.

Bertemakan "Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi", Bajet 2011, ini akan menumpu kepada empat strategi utama berikut:

Pertama: Mendaya Kembali Pelaburan Swasta;
Kedua: Membangunkan Modal Insan;
Ketiga: Mensejahterakan Hidup Rakyat; dan
Keempat: Memantapkan Penyampaian Perkhidmatan Awam

17. Strategi pertama adalah mendaya kembali pelaburan swasta.

Hari ini, kita dapati Kerajaan memainkan peranan yang signifikan dalam menjana ekonomi negara. Corak pertumbuhan ini berlaku berikutan krisis kewangan 1997/1998. Sudah tiba masanya sektor swasta kembali bertindak sebagai enjin pertumbuhan seperti mana pra-kegawatan. Sehubungan itu, Kerajaan membuat pengumuman dan percaturan supaya Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) yang bermula pada tahun 2011 mengenengahkan lagi peranan sektor swasta. Pada 2011, Kerajaan menganggarkan jumlah nilai semasa pelaburan swasta akan berkembang 12.5 peratus kepada sebanyak RM86 bilion. Di samping itu, pelaksanaan 12 National Key Economic Area (NKEA) dijangka menjana pelaburan bernilai lebih RM1.3 trilion atau AS$444 bilion dan mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan sepanjang tempoh pelaksanaannya. Daripada jumlah ini, 92 peratus akan dibiayai oleh sektor swasta dan bakinya oleh Kerajaan.

18. Dalam konteks ini, Kerajaan akan mempergiatkan lagi inisiatif Projek Perkongsian Awam-Swasta atau PPP bertujuan meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam kegiatan ekonomi.

Pelaksanaan projek PPP dengan peruntukan Kerajaan disediakan sebagai tipping point untuk membangunkan infrastruktur sokongan bagi membolehkan projek yang diterajui sektor swasta menjadi lebih berdaya maju. Sehubungan itu, beberapa projek PPP sudah dikenal pasti dalam RMKe-10 akan mula dilaksanakan pada tahun depan dengan kos pelaburan swasta RM12.5 bilion. Kerajaan pula akan menyediakan peruntukan sebanyak RM1 bilion daripada Dana Mudahcara. Antara projek PPP yang terbabit adalah:

Pertama:
Pembinaan Lebuhraya (seperti Lebuhraya Bertingkat Ampang-Cheras-Pandan, Lebuhraya Guthrie-Damansara, Lebuhraya Damansara-Petaling Jaya, Lebuhraya Pantai Barat Banting-Taiping, Lebuhraya Sungai Dua-Juru dan Lebuhraya Paroi-Senawang-KLIA);

Kedua:
Pembinaan Loji Janakuasa Kitar Padu Gas 300 mega watt di Kimanis, Sabah bagi menambah kapasiti bekalan elektrik untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat;

Ketiga:
Projek pembangunan kesihatan seperti Hospital Pengajian Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia di Kuantan, Pahang, Hospital Wanita dan Kanak-kanak serta Kompleks Institut Penyelidikan Kesihatan Bersepadu di Kuala Lumpur.

19. Satu lagi projek PPP yang dikenal pasti adalah Academic Medical Centre.

Projek ini adalah usaha sama antara Academic Medical Centre Sdn Bhd dengan Johns Hopkins Medicine International dan Royal College of Surgeons Ireland. Projek ini membabitkan pelaburan swasta sebanyak RM2 bilion.

20. Mutakhir ini, kita sudah mula menyaksikan kembalinya peranan sektor swasta dalam ekonomi melalui beberapa projek strategik berimpak tinggi.

Contohnya, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan kerjasama Mubadala Development Company (Mubadala), syarikat pelaburan Kerajaan Abu Dhabi bersetuju membangunkan Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) bermula tahun depan dengan nilai anggaran sebanyak RM26 bilion. KLIFD akan menempatkan secara bersepadu, bank utama antarabangsa dan firma perkhidmatan kewangan profesional termasuk pakar syariah. Apa yang mustahak adalah, pembangunan strategik sebegini akan terus menempatkan Malaysia sebagai hab kewangan Islam terulung di dunia. Kerajaan bersedia untuk menimbangkan pakej insentif yang menarik sebagai galakan untuk mereka yang melabur di KLIFD kelak.

21. Seterusnya, transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) di Greater KL (Lembah Klang) akan dilaksanakan mulai tahun depan.

Projek ini dengan anggaran kos pelaburan swasta kira-kira RM40 bilion dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2020 akan menambah kadar kepenggunaan pengangkutan awam sekurang-kurangnya 40 peratus. Projek MRT dijangka menyediakan pengangkutan awam yang efisien dan selesa serta pengguna dapat menuju ke destinasi dengan pantas. Sistem MRT ini juga akan memperhebatkan jaringan hubungan di Lembah Klang dan diintegrasikan dengan mod pengangkutan yang lain seperti bas dan teksi.

22. Satu lagi projek utama yang akan dilaksanakan adalah pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh seluas 2,680 ekar.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melaksanakan pembangunan bercampur membabitkan kediaman mampu milik, perdagangan, industri serta kemudahan prasarana. Keseluruhan pembangunan ini, dianggarkan bernilai RM10 bilion, dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025.

23. Di sudut yang lain, kita berasa sungguh berbangga, bahawa, ke mana saja kita pergi, semua orang mengetahui tentang Menara Berkembar Petronas yang menjadi ikon negara.

Ia adalah satu monumen kepada semangat Malaysia Boleh. Hakikatnya, kekuatan negara adalah adunan dan bauran sejarah kelmarin dan harapan hari esok. Jadi, sebagai satu lagi mercu tanda kebanggaan negara menjelang 2020, Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan mula membangunkan projek bersepadu yang dinamakan Warisan Merdeka. Ia akan mengekalkan Stadium Merdeka, Stadium Negara dan pembinaan sebuah menara 100 tingkat yang tertinggi di Malaysia. Keseluruhan projek ini bernilai RM5 bilion, di mana menaranya dijangka akan siap pada 2015.

24. Bagi menyokong dasar liberalisasi kewangan negara, Kerajaan akan terus berusaha mencergaskan lagi pasaran modal domestik dengan mengambil langkah berani, terutamanya mempelbagaikan produk pelaburan, meliberalisasi syarat pegangan ekuiti dan had pelaburan, menyediakan insentif yang lebih menarik serta meningkatkan kerjasama dengan bursa asing.

Oleh itu, langkah berikut akan dilaksanakan:

Pertama:
Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) akan mengurangkan pegangan saham dalam syarikat utama di Bursa Malaysia untuk meningkatkan kecairan dan halaju dagangan pasaran;

Kedua:
GLIC akan dibenar meningkatkan pelaburan di luar negara bagi menerokai peluang pulangan pelaburan yang lebih baik. Sebagai contoh, KWSP yang mempunyai pelaburan antarabangsa sebanyak tujuh peratus, akan ditingkatkan sehingga 20 peratus daripada jumlah aset diuruskan;

Ketiga:
Penyenaraian anak syarikat Petronas dan MISC, iaitu Petronas Chemical Sendirian Bhd dan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd akan menawarkan pegangan awam yang lebih tinggi pada tahun ini;

Keempat:
Bursa Malaysia akan melancarkan Sukuk dan bon konvensional untuk memenuhi permintaan pelabur runcit terhadap pelaburan pendapatan tetap untuk meningkatkan kerancakan pasaran bon;

Kelima:
Suruhanjaya Sekuriti akan menawarkan tiga lesen syarikat broker saham baru kepada syarikat tempatan, asing atau usaha sama yang layak, untuk meningkatkan penyertaan pasaran runcit;

Keenam:
Suruhanjaya Sekuriti akan menambahkan bilangan Proprietary Day Traders yang beroperasi di pasaran; dan

Ketujuh: Suruhanjaya Sekuriti juga akan mempermudahkan proses dan prosedur penyenaraian syarikat dan produk, terutamanya Dana Dagangan Bursa.

25. Dalam nafas yang sama, pasaran modal Islam akan terus diunggulkan. Untuk tujuan ini, Bursa Malaysia akan membangunkan international board bagi membolehkan penyenaraian saham asing, termasuk produk patuh syariah.

26. Makanya, bagi terus menggalakkan inovasi dalam produk sekuriti Islam, Kerajaan mencadangkan perbelanjaan bagi menerbitkan sekuriti Islam yang menggunakan prinsip Murabahah dan Bai Bi-thaman Ajil berasaskan tawarruq diberi potongan cukai.

Ini akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pasaran sukuk utama dan mempromosi transaksi dalam Bursa Suq al-Sila, satu platform perniagaan komoditi patuh Syariah, yang pertama seumpamanya di dunia. Kerajaan juga mencadangkan sumbangan takaful bagi kredit eksport diberi potongan cukai dua kali.

27. Dalam menggalakkan lagi inovasi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, modal teroka memainkan peranan penting terutamanya dalam sektor berteknologi tinggi seperti ICT, bioteknologi dan industri kreatif.

Untuk tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan Latihan Peningkatan Keusahawanan kepada 500 bakal teknopreneur dan menarik lebih ramai "angel investors", kedua-duanya akan dikendalikan oleh Cradle Fund, anak syarikat Kementerian Kewangan. Manakala, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) pula akan diberi Dana Permulaan Perniagaan berjumlah RM100 juta untuk memberi pembiayaan mudah dengan bayaran balik setelah syarikat menjana pendapatan. MTDC juga akan menganjurkan International Venture Capital Symposium pada tahun depan untuk memadan pemodal teroka asing dan tempatan bagi merancakkan lagi industri berteknologi tinggi.

28. Melangkah ke hadapan, sebagai penyertaan yang lebih bermakna dan mapan oleh golongan Bumiputera pula, Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera akan memberi peluang kepada pemilikan Bumiputera dalam sektor hartanah komersil utama di bandar utama dalam negara.

Bumiputera dapat melanggan dalam tabung pemilikan hartanah komersil kelas utama di Lembah Klang melalui skim pemilikan berkelompok. Untuk ini, Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera akan melancarkan Skim Amanah Hartanah Bumiputera pada tahun ini dengan saiz bernilai satu bilion ringgit dan patuh syariah.

9. Untuk merancakkan lagi aktiviti pasaran modal, saya ingin mengumumkan Kerajaan akan melancarkan Dana Pencen Swasta pada 2011.

Dana ini akan memberi manfaat kepada pekerja sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri. Pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 sedia ada bagi caruman pekerja kepada KWSP diperluaskan untuk meliputi caruman yang dibuat kepada Dana Pencen Swasta termasuk caruman oleh mereka yang bekerja sendiri. Majikan juga akan diberi potongan cukai ke atas caruman yang dibuat bagi pihak pekerjanya. Ini akan memberikan pilihan kepada rakyat bagi melabur untuk hari tua mereka.

30. Industri Elektrik dan Elektronik (E&E) merupakan penyumbang terbesar hasil eksport negara iaitu sebanyak 41 peratus atau RM228 bilion pada 2009.

Namun begitu, industri E&E kita lebih tertumpu kepada aktiviti pemasangan. Kita sepatutnya menggunakan kelebihan pengalaman untuk mewujudkan syarikat E&E tempatan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa. Oleh itu, sebanyak RM857 juta akan disediakan bagi syarikat tempatan yang melabur dalam aktiviti E&E bernilai tambah tinggi, terutamanya di Pulau Pinang dan Kulim High-Tech Park di Kedah.

31. Selain itu, industri minyak, gas dan tenaga merupakan antara penyumbang utama kepada pendapatan ekonomi negara.

Pada 2009, industri ini menyumbang 10.2 peratus kepada KDNK dengan pendapatan eksport bernilai RM56 bilion. Oleh kerana industri ini mempunyai potensi untuk dikembangkan lagi terutamanya aktiviti hiliran, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM146 juta untuk sektor ini. Penubuhan Pusat Perkhidmatan dan Peralatan Minyak utama rantau Asia di Johor pula, membabitkan pelaburan swasta sebanyak RM6 bilion dalam tempoh 10 tahun. Bagi mengatasi kekangan bekalan gas pula, Petronas akan melaksanakan projek regasification dengan kos pelaburan RM3 bilion di Melaka yang dijangka mula beroperasi pada 2012.

32. Kerajaan komited untuk memajukan teknologi hijau bagi menjamin kelestarian pembangunan negara.

Sehubungan itu, Kerajaan terus menyediakan beberapa insentif:

Pertama: Taraf Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan bagi aktiviti penjanaan tenaga daripada sumber yang boleh diperbaharui dan penjimatan tenaga dilanjutkan sehingga 31 Disember 2015;
Kedua: Pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan penjanaan tenaga daripada sumber yang boleh diperbaharui dan penjimatan tenaga dilanjutkan sehingga 31 Disember 2012;
Ketiga: Pengecualian cukai ke atas pendapatan daripada perdagangan sijil Certified Emission Reductions (CERs) dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2012; dan
Keempat: Pengecualian duti import sepenuhnya dan duti eksais 50 peratus diberi kepada pemegang francais kereta hibrid sehingga 31 Disember 2010.

Bagi terus menggalakkan pemilikan kereta hibrid, pengecualian duti import dan duti eksais ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2011 dan sebagai galakan tambahan, duti eksais diberi pengecualian sepenuhnya. Galakan ini juga diperluaskan kepada kereta elektrik serta motosikal hibrid dan elektrik.

33. Malaysia juga komited, mengurangkan pengeluaran karbon intensiti bagi memulihara alam sekitar.

Atas maksud ini, Kerajaan akan melaksanakan antara lain, Program Adunan Biobahan Api dengan Diesel Petroleum (Program B5) secara mandatori bermula di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka pada Jun 2011.

34. Kerajaan juga akan melaksanakan mekanisme Feed in Tariff, (FiT) di bawah Akta Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) bagi membenarkan tenaga elektrik daripada sumber RE oleh pemaju bebas dan individu dijual kepada syarikat utiliti bekalan elektrik.

35. Dalam menyuburkan sektor pertanian, Kerajaan memperuntukkan RM3.8 bilion bagi 2011 supaya menjadi lebih produktif dan menjana pulangan lumayan.

Antara tindakan yang akan diambil adalah:

Pertama: Membangunkan Zon Akuakultur Bersepadu dengan skala besar, di Pitas, Sungai Telaga dan Sungai Padas di Sabah serta di Batang Ai dan Tanjung Manis di Sarawak yang menepati piawaian serta menghasilkan produk berkualiti dengan peruntukan RM252 juta;

Kedua: Sejumlah RM235 juta disediakan bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran padi di Kawasan Pembangunan Pertanian Muda yakni MADA, Kedah dan kawasan lain dengan menaik taraf sistem pengairan dan penggunaan benih padi bermutu tinggi.

Ketiga: Menggalakkan petani menceburi bidang pertanian bernilai tinggi seperti industri sarang burung walit, akuakultur, rumpai laut, ikan hiasan, herba dan rempah ratus dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM135 juta bagi penyediaan prasarana asas;

Keempat: Memperuntuk RM80 juta bagi menjalin kerjasama di antara petani buah-buahan dan sayur-sayuran secara kecil-kecilan dengan syarikat peneraju;

Kelima: Menambah baik Kolej Pertanian di Kubang Pasu, Kedah dengan membina makmal diagnostik yang membabitkan peruntukan RM70 juta;

Keenam: Membina Pusat Penyelidikan Antarabangsa Tanaman Masa Hadapan di Semenyih, Selangor dengan peruntukan sebanyak RM15.7 juta ; dan

Ketujuh: Melanjutkan galakan potongan cukai pendapatan bagi pelabur dan pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat yang menjalankan aktiviti pengeluaran bahan makanan selama limatahun lagi, sehingga 2015.

36. Merujuk pula industri pelancongan yang menjana hasil 53 bilion ringgit pada 2009, ia berpotensi untuk mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan serta meningkatkan lagi pendapatan negara.

Berdasarkan Laporan United Nations World Tourism Organisation, pada 2009, Malaysia menduduki tangga ke-9 dari segi bilangan ketibaan pelancong. Usaha akan dipergiatkan lagi untuk menarik lebih ramai pelancong dengan menyediakan pakej dan produk pelancongan yang inovatif. Untuk ini, Kerajaan akan melaksanakan inisiatif seperti berikut:

Pertama: Memperuntukkan sebanyak RM85 juta untuk menyediakan kemudahan infrastruktur bagi membolehkan pembinaan hotel dan resort peranginan di kawasan pedalaman yang berpotensi menarik pelancong;
Kedua: Membina beberapa laluan pejalan kaki berbumbung di kawasan lingkaran KLCC-Bukit Bintang dengan peruntukan sebanyak RM50 juta;
Ketiga: Menyusun semula Jabatan Penerbangan Awam menjadi Lembaga Penerbangan Awam; dan
Keempat Nexus Karambunai, sebuah resort terkemuka di Sabah telahpun komited untuk membangunkan resort bersepadu eco-nature yang pertama seumpamanya di dunia, bagi memanfaatkan kelebihan keindahan alam semula jadi, dan keunikan tersendiri di Karambunai, Sabah berjumlah RM3 bilion akan bermula tahun hadapan.

Bagi menyokong industri pelancongan di Malaysia, Kerajaan akan memperuntukkan RM100 juta;

37. Seterusnya, bagi menjadikan Malaysia destinasi utama membeli belah (shopping haven) di rantau Asia dengan menawarkan barangan berjenama pada harga yang kompetitif.

Kerajaan mencadangkan supaya duti import ke atas kira-kira 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan, pada kadar lima peratus sehingga 30 peratus dimansuhkan. Barangan ini merangkumi kegunaan harian seperti beg tangan, kasut, sut, baju kanak-kanak, dompet, pewarna rambut, bola golf, barang kemas tiruan, bedak talkum, syampu, langsir, alas meja, selimut, cadar, kemeja, baju tidur, pakaian dan pakaian malam, seluar dan seluar dalam serta wangi-wangian, termasuklah kelambu.

38. Pada masa kini, hasil eksport minyak sawit mentah berjumlah RM37 bilion, manakala produk berasaskan minyak sawit mencecah RM13 bilion pada 2009.

Industri ini sebenarnya boleh diperkembangkan lagi di peringkat hiliran untuk menjana pendapatan lebih besar kepada pengusaha estet dan pekebun kecil. Dalam usaha memangkin industri minyak sawit dan produk berkaitan, beberapa langkah akan dilaksanakan:

Pertama: Meningkatkan produktiviti dengan menggalakkan penanaman semula pokok sawit lama dengan klon baru bermutu tinggi dengan dana sebanyak RM297 juta; dan
Kedua: Sejumlah RM127 juta diagihkan bagi menyokong syarikat oleo derivatives tempatan serta sejumlah RM23 juta untuk mengembangkan industri hiliran minyak sawit, termasuk pengeluaran vitamin.

39. Pembangunan Koridor Multimedia akan memasuki fasa ketiga, bermula tahun hadapan.

Tumpuan diberikan kepada penjanaan ekonomi digital yang inovatif bagi mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi. Dalam meningkatkan potensi industri teknologi maklumat ICT, program MY Creative Content akan dilaksana bagi menggalakkan pembangunan penciptaan kandungan tempatan, hosting kandungan tempatan dan pembukaan saluran baru untuk kandungan. Program ini membabitkan peruntukan sebanyak RM119 juta.

40. Kerajaan, akan juga melanjutkan tempoh galakan elaun pelaburan kepada penyedia kemudahan sambungan terakhir perkhidmatan jalur lebar, dan juga melanjutkan pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan jalur lebar selama dua tahun sehingga 2012.

41. Pada masa ini, telefon bimbit biasa dikenakan cukai jualan 10 peratus manakala telefon bimbit yang mempunyai pelbagai aplikasi seperti internet dan personal digital assistant (PDA) dikecualikan cukai jualan.

Bagi tujuan penyelarasan, Kerajaan mencadangkan, cukai jualan, dikecualikan, ke atas semua jenis telefon bimbit.

42. Kerajaan akan terus menggalakkan sektor perkhidmatan perniagaan sejajar dengan peningkatan permintaan untuk membaik pulih dan menyelenggara kapal terbang serta helikopter.

Kawasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang akan dibangunkan sebagai pusat penyelenggaraan dan membaik pulih kapal terbang serta mengadakan latihan khusus untuk melahirkan pakar dalam bidang tersebut. Kerajaan, akan menyediakan sejumlah RM91 juta untuk pembangunan modal insan dalam industri perkhidmatan penyelenggaraan, baik pulih dan rombak rawat atau MRO, program latihan kejuruteraan aerospace dan aeronautical serta promosi perkhidmatan penyumberan luar perniagaan.

43. Pembangunan koridor dan wilayah akan dipercepatkan dengan memberi tumpuan kepada sebilangan kluster yang mempunyai kelebihan dari segi pengkhususan dan geografi.

Usaha membangunkan kawasan koridor akan berfokus kepada projek usaha sama antara pelabur luar dan tempatan serta industri yang mempunyai kelebihan daya saing dan berimpak tinggi dengan bajet RM850 juta bagi menyediakan infrastruktur sokongan.

44. Di Iskandar Malaysia, sejumlah RM339 juta disediakan oleh Kerajaan, antaranya membina lebuh raya, memajukan kawasan perumahan serta menyedia dan memperbaiki perkhidmatan pengangkutan awam.

Manakala, pelaburan komited oleh pihak swasta di wilayah ini sehingga Jun 2010, berjumlah RM62 bilion, melepasi sasaran RM47 bilion. Jumlah yang telah dilaburkan sehingga Jun 2010 ialah RM25 bilion. Projek yang dijangka siap dalam 2011 adalah Newcastle University Medicine Malaysia, Chelsea Factory Outlet serta Legoland dan Marlborough College pada 2012.

45. Bagi Wilayah Ekonomi Koridor Utara pula, diperuntukkan RM133 juta, antaranya untuk membangun Pusat Pemprosesan Hasil Pertanian, Infrastruktur Pelancongan dan Pusat Inkubator Bioteknologi.

Di Wilayah Ekonomi Pantai Timur, peruntukan RM178 juta disediakan antaranya bagi melaksanakan projek Taman Industri, Loji Rawatan Air, pembangunan kawasan pelancongan serta kawasan bekas Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara dan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka.

46. Bagi wilayah SCORE, sejumlah RM93 juta disediakan untuk projek kemudahan telekomunikasi, bekalan air, lapangan terbang, jalan raya serta taman industri makanan halal.

Manakala, bagi Koridor Pembangunan Sabah, diperuntukkan RM110 juta antaranya untuk projek kelompok industri kelapa sawit, agro-industrial presint dan pusat penternakan bersepadu.

47. Selanjutnya, untuk melonjak ekonomi ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi, aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan (R&D&C) akan dijadikan landasan peningkatan aktiviti nilai ditambah dalam setiap bidang ekonomi dengan bajet sebanyak RM411 juta.

48. Kerajaan juga telah menubuhkan Unit Inovasi Khas (UNIK) di bawah Jabatan Perdana Menteri sebagai pusat sehenti untuk merangka dasar dan strategi bagi menyediakan ekosistem kondusif.

Satu Akta akan digubal untuk membolehkan UNIK mengkomersilkan hasil penemuan R&D oleh universiti dan institusi penyelidikan. Beberapa program dan aktiviti akan dirangka untuk meningkatkan inovasi, penciptaan produk baru dan pengkomersilan. Bagi 2011, UNIK diperuntukkan sebanyak RM71 juta ringgit.

49. Tentu ramai yang tahu, ketika krisis ekonomi melanda, terdapat usahawan dan individu menghadapi masalah kewangan dan ada di antara mereka diisytiharkan bankrap.

Mereka telah disenarai hitam dan tidak dapat berniaga atau membuat pinjaman. Untuk memberi peluang kedua, Akta Insolvensi baru akan menyatukan Akta Kebankrapan 1967 dan Bahagian 10 Akta Syarikat 1965, termasuk memperkenalkan peruntukan berkenaan mekanisme penyelamat bagi syarikat dan individu bermasalah kewangan yang membabitkan perubahan had minimum kebankrapan pada masa ini berjumlah RM30,000.

50. Industri kreatif mempunyai potensi besar untuk dimajukan lagi bagi menjana pendapatan negara. Industri ini meliputi animasi, pengiklanan, perfileman, seni reka fesyen, kraf dan warisan budaya.

Untuk memanfaatkan potensi industri ini, Kerajaan akan membangunkan dasar industri kreatif secara bersepadu. Sejumlah RM200 juta disediakan untuk perolehan hasil kreatif seperti filem, drama dan dokumentari keluaran tempatan yang berkualiti tinggi.

51. Sementelahan itu, kedudukan kewangan yang kukuh adalah penting bagi menjamin kesejahteraan masa depan negara.

Bagi mencapai matlamat ini, Kerajaan mencadangkan supaya kadar cukai perkhidmatan dinaikkan hanya satu peratus kepada enam peratus. Kerajaan percaya langkah kenaikan yang kecil ini tidak membebankan kerana rakyat mempunyai pilihan untuk mendapat perkhidmatan yang tidak dikenakan cukai perkhidmatan. Malah, nilai jualan tahunan (threshold) bagi perkhidmatan sedia ada masih lagi dikekalkan. Seiring dengan hala tuju ini, Kerajaan juga mencadangkan cukai perkhidmatan dikenakan ke atas perkhidmatan penyiaran TV berbayar.

52. Kerajaan akan meneruskan usaha untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan negara dengan memantapkan kutipan hasil dan memastikan perbelanjaan secara berhemat.

Ini termasuklah menekankan nilai untuk wang (value-for-money) dan pengurusan nilai (value management) secara menyeluruh. Sebagai contoh, langkah yang diambil termasuklah tender terbuka, tender terhad dan peraduan reka bentuk yang terbaik untuk hospital Kerajaan. Bagi memantapkan kutipan hasil, Kerajaan akan memperkukuhkan lagi sistem kutipan cukai dengan meningkatkan penguatkuasaan dan pengauditan serta memperluaskan liputan ke atas semua pihak yang sepatutnya membayar cukai.

53. Strategi kedua adalah membangunkan modal insan. Aset negara yang paling penting bagi sesebuah negara adalah modal insannya.

Telah terbukti bahawa negara yang tidak mempunyai sumber asli tetapi bijak mengurus modal insan akan mencapai kejayaan lebih baik dari negara yang semata-mata bergantung kepada sumber aslinya. Malaysia tidak mampu terperangkap dengan ketagihan sumber asli yang bersifat boleh pupus. Syukur, kita telah berjaya mengurus sumber asli kita dengan baik tetapi kita juga berkewajipan merancang pembangunan modal insan secara lestari, jika tidak, kita tidak akan mampu mengoptimumkan potensi nasional.

54. Modal insan yang berkualiti, berkemahiran dan berpengetahuan, kreatif dan inovatif adalah prasyarat bagi mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

Oleh itu, aspek pendidikan dan latihan akan disusun semula dan diperkukuhkan.Untuk tujuan ini, belanja mengurus diperuntukkan sebanyak RM29.3 bilion untuk Kementerian Pelajaran, RM10.2 bilion disediakan untuk Kementerian Pengajian Tinggi dan RM627 juta untuk Kementerian Sumber Manusia.

55. Sejak sekian lama, pendidikan anak-anak Malaysia adalah sesuatu yang dekat di hati saya.

Justeru, Kerajaan tidak akan berdikit dalam soal pendidikan anak-anak kita dan kita tidak akan berkompromi dengan kualiti sistemnya. Mereka mesti disediakan dengan segala kelebihan untuk bersaing menghadapi zaman yang penuh mencabar.

56. Menyedari hakikat inilah, bagi menambah bilangan tenaga kerja yang berbakat dan berkualiti di pasaran tempatan, Kerajaan akan berusaha untuk menarik, memotivasi dan mengekalkan modal insan yang berkemahiran dari dalam dan luar negara.

Justeru, Kerajaan akan menubuhkan Talent Corporation di bawah Jabatan Perdana Menteri pada awal 2011. Talent Corp ini akan menggubal National Talent Blueprint dan membangunkan pangkalan data tenaga kerja berkepakaran serta menjalin kerjasama dengan jaringan bakat di seluruh dunia.

57. Sistem pendidikan negara akan dirombak dengan memberi penekanan kepada daya pemikiran, sahsiah diri, kreativiti, inovasi dan daya saing. Untuk Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak RM6.4 bilion disediakan bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru.

Di samping itu, sejumlah RM213 juta dibajet sebagai ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi serta imbuhan kepada Pengetua atau Guru Besar dan Guru Cemerlang.

58. Anak-anak itu fitrah, ibarat kain yang putih. Kerana itulah, pembangunan modal insan mesti bermula dari peringkat kanak-kanak supaya mereka dapat dipupuk dengan nilai murni dan disemai dengan ilmu pengetahuan. Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan akan meningkatkan kadar enrolmen prasekolah dengan sasaran 72 peratus menjelang akhir 2011 melalui penambahan 1,700 kelas, pemantapan kurikulum serta pelantikan 800 guru prasekolah lepasan Ijazah.

59. Kerajaan juga memperuntukkan RM111 juta untuk program PERMATA, antaranya bagi pembinaan Fasa II Kompleks Sekolah PERMATA Pintar, membina 32 Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) dan membiayai operasi 52 PAPN yang telah siap serta meneruskan program PERMATA Pintar, Seni, Insan dan Remaja.

60. Setiap anak Malaysia juga tidak kira apapun latar kaum, adalah aset nasional dan warisan masa depan negara.

Bidang pendidikan haruslah bersifat lampau politik. Menjunjung maksud ini, Kerajaan telah menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM250 juta untuk sekolah bantuan modal agama, sekolah bantuan modal jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsaan Tamil, sekolah bantuan modal mubaligh dan sekolah bantuan Kerajaan seluruh negara.

61. Sebagai mengiktiraf pendidikan Islam pula, Kerajaan bersetuju untuk membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat rendah dan menengah dengan peruntukan sebanyak RM95 juta .

62. Selanjutnya, bagi menyediakan guru serta tenaga pengajar kompeten dan berkualiti yang dapat membimbing dan mendidik pelajar sekolah dengan sebaiknya, Kerajaan telah menyediakan RM576 juta dalam bentuk biasiswa kepada mereka yang ingin melanjutkan pengajian.

63. Sejumlah RM213 juta ringgit pula diperuntukkan bagi mengangkat tinggi penguasaan Bahasa Malaysia, mempersadakan Bahasa Inggeris dan memperkemaskan Kurikulum Standard Sekolah Rendah.

Sehubungan dengan ini, Kerajaan bersetuju untuk mengambil 375 guru penutur jati antaranya daripada United Kingdom dan Australia untuk meningkatkan lagi pengajaran Bahasa Inggeris.

64. Memperkasa institusi pengajian tinggi bertaraf dunia merupakan agenda utama Kerajaan kerana sumbangannya yang signifikan kepada kemajuan sosioekonomi negara. Langkah berikut akan dilaksanakan:

Pertama: Menambah peratusan staf akademik berkelulusan PhD kepada 75 peratus bagi universiti penyelidikan dan 60 peratus bagi IPTA lain dengan peruntukan sebanyak RM20 juta dan
Kedua: Menambah baik peluang kenaikan pangkat pensyarah di IPTA di mana pensyarah boleh dipertimbangkan kenaikan pangkat ke peringkat tertinggi Gred Turus III,II dan I serta dianugerahkan sebagai Profesor Ulung tanpa memegang jawatan pentadbiran.

65. Berkaitan itu, Kerajaan menyediakan RM60 juta bagi mempergiatkan lagi Program Industrial Skill Enhancement Programme di Pusat Latihan Kemahiran Negeri.

Program ini akan meningkatkan kemahiran graduan kejuruteraan dan pekerja teknikal selaras dengan keperluan pasaran. Di samping itu, sejumlah RM220 juta turut disediakan bagi memastikan siswazah jurusan lain dapat mengembang kompetensi dan kebolehpasaran mereka. Antaranya, melalui Program Pentauliahan Profesional, Pembangunan Sukan, Pembangunan Keusahawanan dan Skim Pengurusan Kebolehpasaran Siswazah. Selain itu, Kerajaan juga akan menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada Multimedia Development Corporation untuk melatih graduan dalam bidang ICT supaya dapat meningkatkan kebolehpasaran dan memenuhi keperluan industri ICT.

66. Golongan bukan siswazah seperti lepasan sekolah, belia dan pekerja, juga, diberi perhatian oleh Kerajaan, memandangkan tenaga mereka diperlukan, terutamanya oleh industri dalam bidang teknikal.

Untuk itu, sejumlah RM474 juta diagihkan bagi meningkatkan produktiviti dan kemahiran di bawah pelbagai institusi latihan.

67. Seperkara yang penting, negara memerlukan modal insan yang sentiasa menambah ilmu pengetahuan melalui peningkatan kemahiran dan mempelajari kemahiran baru (upskilling and reskilling).

Sehubungan itu, sukacita saya mengumumkan Program Latihan 1Malaysia (1Malaysia Training Programme) yang akan dilaksanakan mulai Januari 2011 dengan peruntukan sebanyak RM500 juta.

68. Program latihan ini mempunyai tiga komponen. Pertama, sebanyak RM200 juta untuk menjalankan latihan sambilan di sebelah malam dan di hujung minggu, di pusat latihan terpilih, di seluruh negara. Ia akan dikendalikan oleh Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara, Pusat Giat Mara dan Institut Latihan Perindustrian dengan kemudahan sedia ada.

Antara kursus yang ditawarkan pada sebelah malam adalah kursus Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan kelas muzik. Manakala, di hujung minggu kursus berbentuk kemahiran dan teknikal akan dilaksanakan termasuk bakeri, menjahit, spa, mekanik, elektrik dan kimpalan.

69. Kedua, Program Latihan 1Malaysia juga meliputi peruntukan RM200 juta dari Tabung Pembangunan Sumber Manusia yang membolehkan syarikat membiayai program latihan khusus bagi pekerja mereka.

Ketiga, Kementerian Sumber Manusia juga menyediakan RM100 juta untuk membolehkan pekerja meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang teknikal.

70. Selaras dengan peningkatan produktiviti, golongan pekerja seharusnya mendapat upah dan ganjaran yang lebih tinggi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

Sukacita saya mengumumkan, penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara untuk menjadi platform utama dalam penetapan upah. Majlis ini yang akan diwakili oleh majikan, kesatuan pekerja, kumpulan pekerja tanpa persatuan, agensi Kerajaan, akademia, NGO dan individu. Sekretariat bagi majlis ini adalah Kementerian Sumber Manusia.

71. Kadar dan mekanisme penetapan gaji minimum akan ditentukan oleh Majlis Konsultasi Gaji Negara.

Contohnya, pada masa ini, gaji pokok permulaan posmen telah dinaikkan kepada RM710 sebulan pada 1 Julai 2010 berbanding RM610. Dengan kenaikan ini, upah keseluruhan posmen meningkat daripada RM1,035 sebulan kepada RM1,285, termasuk elaun tetap. Bagi pengawal keselamatan pula, Kerajaan akan menguat kuasa gaji pokok minimum kepada RM500 hingga RM700 sebulan mengikut kawasan berbanding RM300 hingga RM400 pada masa ini. Dengan kenaikan ini, pendapatan keseluruhan pengawal keselamatan, termasuk elaun adalah melebihi seribu ringgit sebulan. Kenaikan ini berkuat kuasa mulai Januari 2011.

72. Selain itu, Kerajaan akan meneruskan langkah pengurangan bilangan pekerja asing dengan menaikkan levi secara berperingkat mengikut sektor.

Pada masa yang sama, majikan akan diwajibkan untuk memperoleh insurans kesihatan bagi pengambilan pekerja asing mereka.

73. Wanita yang membentuk separuh penduduk Malaysia adalah nadi keluarga dan pembangunan negara.

Oleh sebab itu, Kerajaan mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh wanita pabila negara bergerak menuju kemajuan. Bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan, Kerajaan memperuntukkan RM30 juta, antaranya memperkenalkan Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal dan mengadakan Anugerah Perdana Usahawan dan Tokoh Aktivis Wanita bersempena Hari Wanita mulai 2011.

74. Demi menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita sebagai pekerja separuh masa, Kerajaan telah menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 mulai 1 Oktober 2010.

Lantas, saya menyeru pihak swasta dapat mengambil pekerja separuh masa wanita, terutamanya mereka yang telah berumah tangga. Kerajaan juga akan melaksanakan program perintis Small Office Home Office untuk wanita kurang upaya selama tiga bulan bagi melatih wanita OKU dalam pelbagai bidang kemahiran.

75. Laginya, bagi membantu golongan wanita yang tidak berkemampuan, mendapat perkhidmatan pengasuhan dan pendidikan awal yang berkualiti bagi anak-anak mereka, Kerajaan akan menyedia dan menjenamakan semula 40 TASKA 1Malaysia, dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

76. Sememangnya pun, Kerajaan sungguh mengambil berat dengan kerjaya dan kebajikan penjawat awam wanita.

Mereka juga perlu memberi tumpuan kepada penjagaan keluarga, terutamanya anak yang baru dilahirkan. Bagi menambah baik kemudahan cuti bersalin kepada penjawat awam wanita, Kerajaan memberi fleksibiliti untuk menentukan sendiri tempoh Cuti Bersalin bergaji penuh tidak melebihi 90 hari berbanding 60 hari pada masa ini. Kemudahan tersebut adalah tertakluk kepada kelayakan keseluruhan bilangan Cuti Bersalin sebanyak 300 hari sepanjang tempoh perkhidmatan.

77. Dari semasa ke semasa, Kerajaan telah merintis jalan dan membuka peluang kepada wanita berkelayakan memegang jawatan di peringkat tertinggi dalam perkhidmatan awam.

Pada akhir 2009, wanita yang memegang Jawatan Utama Sektor Awam telah mencapai tahap 30.5 peratus. Justeru, saya ingin menyeru pihak swasta memberi peluang kepada lebih ramai wanita menjawat jawatan di peringkat pembuat keputusan, khususnya sebagai Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif.

78. Kerajaan akan terus menggalakkan pembangunan dan penyelidikan sukan, memperbanyakkan penganjuran sukan antarabangsa, menyediakan kemudahan dan kepakaran untuk melahirkan atlet yang berdaya saing dan membangunkan sukan berprestasi tinggi.

Untuk pembangunan dan mengurus aktiviti sukan, sebanyak RM365 juta disediakan kepada Kementerian Belia dan Sukan. Selain itu, bagi memajukan sukan bola sepak, Kerajaan akan menubuhkan Akademi Bola Sepak, di Pahang, dengan peruntukan RM20 juta, bagi melahirkan pemain bola sepak yang berkualiti dan berkemahiran tinggi.

79. Bercakap tentang sukan, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada semua atlet negara yang telah menyertai Sukan Komanwel Ke-19 di New Delhi. Saya mengucapkan tahniah kepada pemenang pingat yang telah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa yang telah melepasi sasaran 10 emas dengan menggondol 12 pingat emas.

Untuk makluman semua, pencapaian pingat di temasya kali ini menyaksikan rekod rangkulan emas terbaik negara dalam penyertaan Sukan Komanwel.

80. Strategi ketiga adalah mensejahterakan hidup rakyat. Sudah lumrahnya, tugas dan tanggungjawab utama Kerajaan adalah untuk memartabatkan kehidupan rakyat. Status negara maju tidak akan bermakna jika kualiti hidup rakyatnya merosot.

Pokoknya, dalam usaha kita menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, kita perlu memantapkan pembangunan sosioekonomi secara inklusif. Ini penting bagi menghasilkan kemajuan yang lebih seimbang dan memastikan kualiti hidup yang lebih baik.

81. Ternyata, Kerajaan menjiwai keluh kesah dan kesukaran hidup yang dihadapi oleh golongan kurang bernasib baik.

Tumpuan akan terus diberikan untuk memastikan kebajikan mereka terpelihara. Bagi 2011, Kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menjalankan pelbagai program berbentuk kebajikan dan kemasyarakatan. Antara program dan insentif yang disediakan:

Pertama: Program bantuan kebajikan warga emas dengan peruntukan RM166 juta untuk mengatasi masalah golongan ini yang dijangka meningkat melebihi 15 peratus daripada jumlah penduduk negara menjelang 2030;
Kedua: Program bantuan kanak-kanak dengan peruntukan RM121 juta disediakan bagi membolehkan mereka menerima perkhidmatan pengasuhan dan pendidikan awal yang berkualiti. Program ini akan memanfaatkan seramai 97,000 kanak-kanak;
Ketiga: Program bantuan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM218 juta akan dimanfaatkan oleh 80,000 OKU;
Keempat: Pengecualian duti eksais dinaikkan daripada 50 peratus kepada 100 peratus ke atas sebuah kenderaan nasional yang dibeli oleh OKU; dan
Kelima: Membina sebuah pusat intervensi bagi menangani golongan tuna wisma dan gelandangan dengan menyediakan peluang pekerjaan, kemudahan perumahan dan kaunseling.

82. Sementara itu, sejak 2008, Kerajaan telah memberikan rebat bayaran bil elektrik bagi penggunaan bawah RM20 sebulan yang telah membawa manfaat kepada lebih satu juta pengguna di seluruh negara.

Sehubungan itu, Kerajaan berkeputusan meneruskan usaha murni ini dengan peruntukan RM150 juta untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah.

83. Para pendeta bermadah, kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah berkorban raga. Pada masa ini, pelepasan cukai ke atas perbelanjaan perubatan ibu bapa terhad kepada perubatan di klinik dan hospital, termasuk rawatan di nursing home serta rawatan pergigian.

Bagi terus membantu meringankan kos membiayai perbelanjaan penjagaan ibu bapa, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai sehingga RM5,000 yang sedia ada diperluaskan bagi meliputi perbelanjaan lain seperti bayaran menghantar ibu bapa ke rumah jagaan harian, bayaran menggaji pembantu khusus menjaga ibu bapa dan perbelanjaan keperluan harian mereka yang lain seperti lampin pakai buang.

84. Kerajaan sangat memahami keperluan setiap rakyat untuk memiliki rumah yang selesa, terutamanya bagi golongan miskin dan berpendapatan rendah. Untuk itu, sejumlah RM568 juta disediakan bagi membina 300 unit kediaman di bawah Projek Bantuan Perumahan Bandar, 79,000 unit di bawah Program Perumahan Rakyat dan 8,000 unit di bawah Projek Bantuan Sewa Rumah.

Selain itu, bagi membantu golongan pekerja estet memiliki rumah, Kerajaan akan menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan Kos Rendah dengan peruntukan RM50 juta yang dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional. Skim ini terbuka kepada pekerja tetap estet, warganegara Malaysia, untuk mendapatkan pinjaman perumahan maksimum sebanyak RM60,000 bagi membeli rumah kos rendah pada kadar faedah maksimum empat peratus dengan tempoh pinjaman sehingga 40 tahun, menjangkau generasi kedua.

85. Sesungguhnya lagi, Kerajaan maklum akan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat terutama golongan muda yang baru bekerja dengan pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah.

Bukan mudah untuk mereka bertatih dalam realiti kehidupan. Untuk membantu golongan ini, Kerajaan akan memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku melalui Cagamas, yang akan menawarkan jaminan Kerajaan ke atas bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000. Skim ini adalah untuk pembeli rumah pertama yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan. Dalam kata lain, pembeli rumah mendapat pinjaman 100 peratus tanpa perlu mengeluarkan 10 peratus wang pendahuluan, seperti amalan lazim.

86. Pada masa yang sama, hanya, pembeli rumah pertama juga akan diberi pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus ke atas surat cara pindah milik sebuah rumah yang berharga tidak melebihi RM350,000.

Kerajaan juga mencadangkan pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus diberi ke atas surat cara perjanjian pinjaman bagi membiayai pembelian rumah pertama tersebut.

87. Usaha untuk membawa pembangunan ke kawasan luar bandar sudah lama bermula di negara ini.

Apabila darurat hampir tamat, Kerajaan pada ketika itu telah menubuhkan Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar untuk menerajui usaha membawa nikmat pembangunan ke kawasan luar bandar. Kerajaan sekarang komited meneruskan usaha ini sekalipun hampir 60 peratus penduduk Malaysia kini tinggal di kawasan bandar. Apa yang pasti, dalam usaha mentransformasi negara menjadi maju, Kerajaan tidak akan sekali-kali meminggirkan rakyat luar bandar. Projek dan program pembangunan bagi mempertingkatkan taraf hidup penduduk luar bandar akan diberi keutamaan. Sejumlah RM6.9 bilion disediakan untuk pelaksanaan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan luar bandar. Antara projek utama yang akan dilaksanakan adalah:

Pertama: Membina dan menaik taraf jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan berjumlah RM2.1 bilion dan di Semenanjung RM696 juta;
Kedua: Menyedia bekalan air dan elektrik luar bandar di Sabah dengan peruntukan RM1.5 bilion, Sarawak RM1.2 bilion dan Semenanjung RM556 juta;
Ketiga: Melaksanakan program bantuan rumah untuk golongan miskin dan miskin tegar dengan peruntukan RM300 juta.Program ini membabitkan pembinaan dan baik pulih 12,000 unit rumah di seluruh negara terutamanya di Sabah dan Sarawak; dan
Keempat: Menyediakan Unit Khas Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara bagi memudahkan penduduk kawasan terpencil di Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk mendaftar kerakyatan.

88. Bagi meningkatkan pengeluaran makanan, Kerajaan memperuntukkan RM974 juta sebagai pemberian subsidi harga padi, baja dan benih padi serta RM230 juta untuk insentif pengeluaran dan peningkatan hasil padi.

Kerajaan juga menyediakan sejumlah RM170 juta bagi insentif hasil tangkapan ikan nelayan serta pemilik dan pekerja bot untuk meningkatkan hasil tangkapan.

89. Kini, masalah harga barangan lebih tinggi yang dihadapi oleh penduduk di kawasan pedalaman terutamanya di Sabah dan Sarawak serta kawasan tertentu di Semenanjung akibat kos pengangkutan, menjadi perhatian Kerajaan.

Bagi menyeragamkan harga barangan pada kadar yang hampir sama dengan kawasan lain, Kerajaan telah memperkenalkan Program Pengedaran Barang Perlu seperti beras, minyak masak, gula, tepung, gas, petrol dan diesel, pada 2010 dengan peruntukan sebanyak RM100 juta. Bagi 2011 pula, peruntukan sebanyak RM200 juta disediakan bagi meneruskan program ini.

90. Kita sedia maklum interaksi Kerajaan dan rakyat kerap dibangkitkan mengenai harga barangan runcit.

Dalam konteks ini, Kerajaan akan mewujudkan portal interaktif "1Malaysia Pengguna Bijak" bagi memudahkan rakyat mengikuti perkembangan harga terkini barangan, meliputi hampir 7,000 premis perniagaan seluruh negara. Melalui portal ini, pengguna mempunyai pilihan untuk mendapatkan sesuatu barangan pada harga yang kompetitif. Pengguna juga boleh menggunakan khidmat pesanan ringkas untuk mengetahui harga terkini barangan.

91. Selain daripada itu, untuk mengukuhkan lagi sektor pemborongan dan peruncitan, satu Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR), Bengkel Automotif serta projek Pasar Komuniti akan diperkenalkan untuk menaik taraf kemudahan supaya menjadi lebih menarik dan moden dengan peruntukan sebanyak RM73 juta.

92. Tanggapan bahawa kerajaan hanya berminat menumpukan kepada projek berskala besar tanpa mengendahkan kontraktor-kontraktor kecil adalah menyimpang dan tidak benar sama sekali. Hakikatnya, Kerajaan akan terus melaksanakan Projek Penyelenggaraan Aset Awam, atau lebih dikenali sebagai PIA / PIAS, dengan peruntukan RM500 juta.

Antara aktiviti yang terlibat ialah membaik pulih dan menaik taraf kemudahan awam, longkang, perparitan, titi, jambatan kecil dan pendawaian semula serta pembinaan jalan pertanian dan kampung. Saya yakin pelaksanaan projek seperti ini akan sedikit sebanyak membantu golongan kontraktor kelas F di seluruh negara.

93. Sejak dulu, kini dan selamanya, jasa golongan pemimpin masyarakat tidak pernah dilupa.

Tidak kira di kota atau di desa, sungguh tinggi baktinya. Lalu, untuk menghargai peranan pemimpin di peringkat kampung, Kerajaan akan menaikkan elaun bulanan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persekutuan (JKKP), Tok Batin, Pengerusi JKKK Orang Asli dan Pengerusi Kampung Baru kepada RM800 sebulan berbanding RM450 pada masa ini.

94. Bagi memastikan elaun ini dinikmati oleh semua Ketua Kampung, elaun ini turut diberi kepada Pengerusi Jawatankuasa Kampung Baru Rangkaian dan Pengerusi Jawatankuasa Kampung Bagan. Kerajaan juga akan menaikkan elaun kehadiran mesyuarat kepada semua Ahli Jawatankuasa dari RM30 kepada RM50 .

95. Di samping itu, elaun bulanan Imam juga akan dinaikkan dari RM450 kepada RM750 sebulan.

Manakala, imbuhan bulanan guru KAFA dinaikkan kepada RM800 sebulan berbanding RM500 pada masa ini berkuat kuasa Januari 2011.

96. Seperti yang kita sedia maklum, kemajmukan Malaysia diasaskan daripada pelbagai suku kaum dan bangsa.

Kita tidak pernah mendiskriminasi kelompok minoriti kerana mereka adalah warganegara dan rakyat Malaysia. Semua usaha pembangunan dibuat secara inklusif untuk turut meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli dan Pribumi. Sejumlah RM100 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program, termasuk menyelesaikan isu pegangan hak milik tanah dan persempadanan penempatan Orang Asli serta membangunkan Model Baru Pembangunan Orang Asli. Selaras dengan ini, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli akan disusun semula dan diperkukuhkan dengan memberi nafas baru sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli.

97. Kerajaan amat prihatin terhadap rakyat yang terpaksa menanggung kos pengangkutan yang semakin meningkat. Untuk meringankan beban pengguna lebuh raya, sukacita saya mengumumkan kadar tol di empat lebuhraya milik PLUS Expressway Berhad tidak akan dinaikkan bagi tempoh 5 tahun akan datang bermula serta-merta.

98. Selanjutnya, Kerajaan komited untuk memastikan akses kepada kesihatan berkualiti dapat dinikmati oleh segenap lapisan rakyat.

Bagi mencapai matlamat ini, sejumlah RM15.2 bilion diperuntukkan bagi membina hospital baru, menambah bilangan doktor dan jururawat serta mendapatkan bekalan ubat dan peralatan perubatan. Sejak tahun lalu, sejumlah 51 Klinik 1Malaysia sudah beroperasi dan Kerajaan akan menambah lagi sebanyak 25 Klinik 1Malaysia.

99. Keselamatan awam pula merupakan aspek penting dalam mewujudkan persekitaran yang selamat untuk negara.

Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2010, indeks jenayah jalanan menurun 38 peratus manakala indeks jenayah keseluruhan menurun 16 peratus. Sehubungan itu, Kerajaan akan meneruskan usaha ini dengan peruntukan sebanyak RM350 juta untuk melaksana pelbagai program, termasuk program membanteras jenayah pecah rumah, kecurian motosikal dan kereta serta menjalankan program bandar selamat dan program Skim Rondaan Sukarela, terutamanya di kawasan berisiko tinggi. Di samping itu, Kerajaan akan menambah 25 mahkamah khas untuk mempercepatkan perbicaraan.

100. Kerajaan menghargai peranan yang dimainkan masyarakat sivil di dalam menyediakan perkhidmatan yang selama ini hanya dimainkan oleh pihak kerajaan.

Kita melihat perkara ini sebagai satu perkara yang positif dan sesuatu yang melengkapi, ianya perlu terus digalakkan. Kerajaan mengiktiraf sumbangan berharga NGO dalam mengatasi gejala sosial, membantu golongan kurang bernasib baik dan menyediakan kemudahan perlindungan serta menjalankan program latihan dan penjanaan pendapatan.

101. Sebagai tanda pengiktirafan, Kerajaan akan memperuntukkan RM70 juta kepada program dan aktiviti yang melibatkan NGO terpilih bagi membantu Kerajaan dalam memantapkan institusi keluarga dan menangani gejala sosial seperti pembuangan bayi, mat rempit dan gengsterisme.

NGO tersebut akan melaksanakan program bersepadu bersama agensi Kerajaan, terutamanya di kawasan berisiko tinggi berlakunya jenayah supaya ia dapat dicegah lebih awal di peringkat akar umbi.

102. Dalam aspek alam sekitar pula, suasana keliling yang mapan akan terus dipelihara. Sejumlah RM1.9 bilion disediakan untuk membiayai projek pemuliharaan alam sekitar, antaranya melaksanakan program Sungai Nadi Kehidupan dan menghijaukan Kuala Lumpur.

Selain itu, Kerajaan juga akan menjalankan usaha untuk memulihara sumber marin dan persisiran antaranya di Pantai Siring, Melaka; Pantai Sabak di Kelantan, Teluk Lipat di Terengganu dan Rompin di Pahang.

103. Tanggungjawab Sosial Korporat yang semakin menjadi trend kebelakangan ini, begitu kritikal dalam melaksanakan projek kemasyarakatan.

Dalam hubungan ini pada 2011, Khazanah Nasional Bhd dengan kerjasama Kementerian Pelajaran akan menjadikan 10 sekolah sebagai Sekolah Amanah (Trust School) yang dikendali secara lebih profesional untuk memastikan pelajar memperoleh pendidikan berkualiti. Untuk tujuan ini, selain daripada peruntukan lazim Kerajaan, Sekolah Amanah ini juga akan menerima sumbangan daripada Khazanah Nasional.

104. Untuk membantu kanak-kanak, terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah mencapai prestasi yang cemerlang di sekolah pula, 1MDB akan menyediakan multi-vitamin untuk pelajar sekolah rendah.

Program ini diharap akan dapat meningkatkan pembangunan mental dan mengukuhkan sistem imunisasi pelajar sekolah.

105. Berikutan salah satu cadangan daripada makmal Pemuda yang diadakan beberapa bulan yang lalu, 1MDB akan turut menyumbang kepada pembangunan belia negara dengan penubuhan Dana Belia 1Malaysia berjumlah RM20 juta bagi memupuk semangat 1Malaysia.

Dalam bidang kesihatan pula, 1MDB akan melaksanakan Klinik Bergerak 1Malaysia dengan 4 bas Klinik Bergerak dengan kerjasama Kementerian Kesihatan akan disediakan.

106. Strategi keempat adalah memantapkan penyampaian perkhidmatan awam.

Dalam mengemudi Malaysia menjadi negara maju, Kerajaan yang kini mempunyai RM1.2 juta penjawat awam perlu mengoptimumkan sistem penyampaian Kerajaan di mana penambahbaikan sentiasa wajar diambil untuk mempertingkatkan produktiviti negara.

107. Jelasnya, fungsi kerajaan adalah pemudahcara bukan penghadang. Berurusan dengan mana-mana agensi kerajaan seharusnya bersifat menyenangkan bukan menyusahkan.

Untuk itu, Kerajaan akan terus mempermudahkan lagi sektor swasta berurusan dengan agensi Kerajaan. Ke arah ini, inisiatif MyCoID Gateway yang menggunakan nombor rujukan tunggal Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi menjalankan urusan telah pun dilaksanakan. Inisiatif MyCoID ini akan diperluaskan ke agensi-agensi dan kementerian lain.

108. Kerajaan juga akan memperkenalkan sistem permarkahan untuk memudahkan permohonan taraf penduduk tetap (PR).

Permohonan PR kini boleh dilakukan selepas lima tahun bermastautin berbanding 10 tahun sebelum ini. Dengan sistem tersebut, permohonan taraf penduduk tetap akan lebih telus, pantas dan objektif berdasarkan kriteria yang jelas.

109. Bagi mempercepatkan proses pendaftaran hartanah pula, Akta Setem 1949 telah dipinda untuk membolehkan penilaian hartanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dilakukan selepas duti setem dibayar di Lembaga Hasil Dalam Negeri. Penambahbaikan ini akan dapat mengurangkan masa pendaftaran hartanah daripada 30 hari kepada satu hari saja.

110. Penjawat awam selaku pelaksana dasar adalah komponen yang amat penting di dalam usaha negara merealisasikan wawasan kebangsaan.

Tanpa agen pelaksana yang cekap, berkesan dan dinamik wawasan negara, akan hanya tinggal sekadar matlamat murni. Sehubungan dengan itu, dalam usaha berterusan menyediakan kerangka penilaian yang lebih bertanggungjawab, relevan dan menyeluruh serta mengambilkira maklumbalas penjawat awam, Kerajaan bersetuju untuk memansuhkan sistem Penilaian Tahap Kecekapan atau PTK dan diganti dengan satu sistem penilaian yang lebih sesuai dan diterima baik oleh penjawat awam menjelang Jun 2011.

111. Di atas segalanya, Kerajaan sentiasa menghargai sumbangan penjawat awam yang memberi komitmen penuh dalam menjayakan inisiatif Kerajaan, termasuk Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi.

Dengan harapan dan pesanan supaya penjawat awam terus berusaha, Kerajaan akan:

Pertama: Meringankan beban penjawat awam untuk menampung perbelanjaan persiapan sekolah dengan memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500. Bantuan kewangan ini akan diberi kepada penjawat awam gred 54 dan ke bawah, termasuk pegawai kontrak dan pesara Kerajaan. Pembayaran akan dibuat pada bulan Disember ini;
Kedua: Menaikkan kadar Bantuan Mengurus Jenazah kepada RM3,000 berbanding seribu ringgit pada masa ini selaras dengan kenaikan kos pengurusan jenazah. Bantuan ini juga akan dipanjangkan kepada pesara Kerajaan; dan
Ketiga: Menyambung perkhidmatan Pegawai Khidmat Singkat yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Disember 2010 untuk tempoh setahun lagi. Kementerian dan agensi tidak dibenarkan untuk menambah bilangan Pegawai Khidmat Singkat baru.

112. Tambahan dari itu, bagi memudahkan penjawat awam memiliki rumah serta memperbaiki lagi syarat-syarat untuk membuat pinjaman perumahan, Kerajaan akan:

Pertama: Membenarkan pembelian hartanah daripada ibu, bapa, anak dan adik-beradik;
Kedua: Menggandakan kadar pinjaman kepada RM20,000 berbanding RM10,000 untuk kerja-kerja tambahan rumah kos rendah bagi Kumpulan Sokongan Dua; dan
Ketiga: Menaikkan had kelayakan maksimum pinjaman perumahan kepada RM450,000 berbanding RM360,000 pada masa kini.

Kesemua langkah penambahbaikan pinjaman perumahan ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2011.

PERUNTUKAN BAJET 2011

113. Kerajaan komited untuk mempercepatkan proses transformasi dengan melaksanakan projek dan program di bawah RMK-10, NKRA dan NKEA dilaksanakan dengan jayanya.

Untuk melaksanakan strategi dan langkah yang telah dibentang, saya mencadangkan sejumlah RM212 bilion diperuntukkan bagi Bajet 2011 iaitu 2.8 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan 2010. Daripada jumlah itu, RM162.8 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus. Manakala, RM49.2 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan.

114. Di bawah peruntukan mengurus, RM45.6 bilion adalah bagi emolumen dan RM28.2 bilion disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala, RM86.4 bilion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap.

Sejumlah RM1.4 bilion disediakan untuk Pembelian Aset dan baki RM1.2 bilion untuk perbelanjaan lain.

115. Bagi peruntukan pembangunan pula, sebanyak RM28.3 bilion disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar. Sejumlah RM15.5 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

Seterusnya, RM4.4 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM955 juta bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

116. Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2011, jumlahnya dianggarkan meningkat 2.3 peratus kepada RM165.8 bilion, berbanding RM162.1 bilion pada 2010.

Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan bagi 2011 dijangka terus berkurangan kepada 5.4 peratus daripada KDNK, berbanding 5.6 peratus pada 2010.

117. Apa yang telah dirangka dan akan dilaksanakan ini merupakan visi bagi memenuhi aspirasi dan impian rakyat.

Kita mahu membina sebuah Malaysia di mana setiap seorang mampu mencipta kebahagiaan. Kita mahu membina sebuah Malaysia di mana yang menghadkan kejayaan hanyalah sejauh mana kesanggupan seseorang itu berusaha dan bekerja keras.

nota kaki : tiada kata yang mampu terluah kerana saya bukanlah yang selayaknya untuk menimbulkan rasa setuju atau kurang setuju dengan pembentangan tersebut, cuma saya agak bersetuju dengan komen-komen yang dinyatakan daripada tokoh-tokoh ternama dalam pelbagai bidang baik pihak kerajaan mahupun pembangkang yang pada hemat saya telah menyuarakan pandangan dan perhatian mereka dalam pemikiran yang jernih untuk kebaikan bersama dalam belanjawan 2011 ini. moga belanjawan yang diperuntukkan benar-benar mampu membangunkan dan memberi faedah kepada semua tanpa ada unsur-unsur yang terarah atau menjerumuskan mana-mana pihak ke lembah yang tidak sepatutnya. perlu dikaji lagi sebenarnya dan perbincangan dengan semua pihak wajar dititikberatkan kerana ia merupakan hak semua bukannya hak individu. wallahua'lam...

1 comment:

  1. saya ingin kembali semua kemuliaan kepada Allah SWT atas apa yang dia gunakan Ibu Rossa lakukan dalam hidup saya, nama saya adalah Mira Binti muhammad dari klang di malaysia, saya seorang janda dengan 2 anak, suami saya mati dalam kemalangan kereta dan sejak itu kehidupan menjadi sangat kasar bagi saya dan keluarganya dan saya telah cuba untuk mendapatkan pinjaman dari bank-bank di sini di malaysia dan saya dinafikan dan ditolak kerana saya tidak mempunyai cagaran dan tidak boleh mendapatkan pinjaman dari bank dan saya sangat sedih
    pada hari ini yang setia ketika saya melalui internet, saya melihat kesaksian Annisa berkarya tentang bagaimana dia mendapat pinjaman dari Ibu Rossa dan saya menghubunginya untuk bertanya tentang ibu Rossa dan betapa benarnya pinjaman dari ibu Rossa dan dia memberitahu saya memang benar dan saya menghubungi Ibu Rossa dan memohon pinjaman dan pinjaman saya diproses dan diluluskan dan dalam masa 24 jam saya mendapat amaran wang pinjaman saya dalam akaun saya dan ketika saya menyemak akaun saya pinjaman saya utuh dan saya sangat gembira dan saya telah bersumpah bahawa mana-mana syarikat yang meminjamkan pinjaman saya akan memberi keterangan mengenai syarikat itu, jadi saya ingin menggunakan ini medium untuk memberi nasihat kepada semua orang yang memerlukan pinjaman untuk menghubungi ibu Rossa melalui e-mel: rossastanleyloancompany@gmail.com dan anda boleh juga menghubungi saya melalui e-mel saya: mirabintimuhammed@gmail.com untuk maklumat dan juga kawan saya Annisa Barkarya melalui e-melnya: annisaberkarya@gmail.com

    ReplyDelete

jangan lupa untuk tinggalkan jejak!!!

Related Posts with Thumbnails