hadith of the day

pendokong

17 April 2011

Yang Penting Sejauh Mana Kita Telah Melangkah - iluvislam

....seronok untuk dikongsi....

Amar merupakan seorang pemuda yang kuat bekerja. Keluarganya merupakan antara yang termiskin di kampung. Hidup mereka 'ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'. Kesusahannya menyebabkan dia terpaksa berhenti sekolah seusia 16 tahun untuk memberi peluang kepada adik-adiknya yang lain meneruskan persekolahan. Sejak itu berbagai pekerjaan telah dia lakukan. Dia tidak pernah peduli kerana sedar dia hanya berkelulusan PMR. Asalkan kerjanya halal, dia tidak pernah menolak kerana segala-galanya adalah untuk meneruskan kehidupan dan menyara ibu dan adik-adik yang disayangi.

Bapanya pula tidak bertangungjawab, meninggalkan mereka sekeluarga sewaktu dia berusia 9 tahun. Sejak itu ibunya yang bertungkus lumus bekerja menyara mereka lima sekeluarga tetapi kerana penyakit kronik yang dihadapi ibunya, dia selalu merasa penat dan akhirnya dia sudah tidak mampu lagi melakukan pekerjaan seperti biasa. Mengambil tanggungjawab sebagai anak sulung, Amar tekad berhenti belajar dan berkerja untuk menyara keluarga.

Suatu hari, sesuatu yang tidak dijangka berlaku. Dua orang adik kesayangannya terlibat dalam kemalangan ketika menunggang basikal pulang ke rumah. Selepas koma selama tiga hari, kedua-duanya menghembuskan nafas terakhir. Amar seperti tidak percaya dan menangis sepanjang malam, merintih pemergian orang tersayang. Dalam tangisan itu, dia berkata :

"Ya Tuhan, apakah dosaku sehinggakan semua ini terjadi kepada ku? Sudahlah aku miskin, bapaku pergi tanpa rasa tanggungjawab dan sekarang adik-adik yang aku sayangi dan sanggup aku lakukan apa sahaja untuk mereka telah pergi. Kenapa ini terjadi kepada ku?"

***

Nurul adalah antara pelajar terbaik di universiti. Dalam usia 21 tahun, dia memang menarik perhatian ramai lelaki bukan sahaja dengan keayuan wajahnya tetapi juga kerana sikap lemah lembut dan berakhlak yang menghiasi dirinya. Sesiapa sahaja yang pertama kali bertemu dan bertentang mata, pasti merasa tenang. Dengan kata-kata yang lemah lembut dan penuh motivasi, dia boleh diandaikan sebagai wanita melayu idaman lelaki.

Tidak apa yang perlu dihairankan kerana dia datang bukan daripada keluarga sebarangan. Bapanya ialah ahli perniagaan manakala ibunya pula ustazah disebuah sekolah agama. Dua orang adik lelakinya masih bersekolah. Sejak kecil lagi, mereka memang diberi didikan agama. Dia sentiasa bersyukur kerana dikurniakan keluarga bahagia. Setiap kali cuti semester, dia pasti tidak melepaskan peluang untuk pulang ke rumah.

Bapanya adalah antara ahli perniagaan yang terkenal dan berjaya. Syarikat kepunyaan bapanya mempunyai rangkaian di beberapa buah negara Asia. Sehingga suatu ketika, akibat perbuatan khianat oleh musuh-musuh perniagaan, syarikatnya muflis. Akibatnya, kerana tidak percaya yang empayar perniagaan yang dibinanya telah runtuh, bapanya menghadapi tekanan mental. Nurul sangat sedih terhadap perkara yang terjadi kepada keluarganya tetapi dia redha. Dia percaya setiap yang berlaku ialah ujian daripada Allah S.W.T untuk menguji keimanannya. Setelah beberapa tahun, berkat usahanya dan keluarganya, bapanya kembali normal dan membina kembali syarikat tersebut.

***

Dua cerita yang saya bawakan diatas hanyalah rekaan semata-mata, tetapi mungkin pernah anda temui dalam kehidupan seharian dan yang ingin saya sampaikan ialah orang yang miskin dan merana hidupnya kadang-kadang menjadi lebih miskin. Bagaimana? Setiap kali ujian datang, dia selalu mengeluh dan mempersoalkan. Lain pula dengan orang yang kaya terus menjadi kaya. Setelah sekian lama hidup senang dan kemudian di timpa musibah, dia berupaya menerima hakikat kehidupan yang manusia tidak selalunya berada di atas.

Namun ada juga manusia yang hidup menderita, sengsara, miskin tetapi kerana ketabahan menjalani kehidupan, berusaha dan yakin yang suatu hari nanti nasibnya akan berubah, akhirnya dia berjaya keluar daripada kemiskinan. Anak-anak yang dulunya ditatang dengan penuh kasih sayang, didikan agama, dibesarkan dengan penuh kesusahan dan apabila besar dapat menolong kembali si ibu bapa. Segalanya susah payah ibu bapa terbalas.

Dari mana kita berasal, sama ada kaya atau miskin, keluarga bahagia atau bermasalah tidaklah penting. Sebenarnya yang penting sejauh mana kita telah melangkah dari tempat kita bermula. Kita tidak mempunyai hak untuk menentukan dari mana kita dilahirkan. Semuanya telah pun ditentukan oleh Allah S.W.T sebelum kita dilahirkan. Namun, kita sentiasa mempunyai peluang ke mana dan sejauh mana kita mahu melangkah.

Jika anda berada di titik A (andaikan sebagai titik paling bawah) dan setelah bertahun-tahun berusaha, akhirnya anda berada di titik M. Bandingkan dengan orang yang berada dititik D dan selepas beberapa tahun hanya mampu berada di titik N. Jika dibandingkan, anda lebih berjaya kerana anda bergerak lebih jauh darinya mamandangkan anda berada di titik yang paling bawah.

Oleh itu, bersyukurlah kepada Allah S.W.T jika anda sudah bergerak jauh dari tempat bermula dan kehidupan anda kini lebih baik kerana tanpa kekuatan tenaga, semangat dan pemikiran yang diberikan Allah S.W.T tidak mungkin anda mampu bergerak sejauh itu.

Realiti Sebuah Kehidupan : Kita Ialah Hamba Tuhan

Memang realiti sebuah kehidupan iaitu kita adalah hamba tuhan. Tidak kira perkara yang kita lakukan semuanya dalam pengetahuan Allah S.W.T. Kesedihan, kegembiraan, kemarahan yang dirasai adalah liku-liku kehidupan yang menjadikan kehidupan kita penuh warna-warni.

Sedarkah kita yang kadang-kadang kita berusaha sedaya mungkin tetapi masih gagal merealisasikan cita-cita dan harapan. Kita bukannya tidak bekerja bersungguh-sungguh, malah telah mencuba yang terbaik untuk meningkatkan prestasi dibidang yang kita ceburi.

"Apakah pilihan kita?"

Jika kita berasa kecewa dengan apa yang kita miliki tentu kita akan terus beroleh kekecewaan. Perkara yang kita fikir itulah yang kita akan dapat. Lebih baik untuk kita muhasabah diri dan merenung hikmah yang tersembunyi disebalik perkara yang terjadi. Jika kita memilih untuk terus berusaha dan tidak membelakangkan Allah S.W.T, pastinya kita akan diberi laluan untuk berjaya kelak.

Pada masa yang sama, jangan lupa untuk mencari tempat untuk meluahkan perasaan. Manusia memerlukan manusia lain untuk hidup. Hiduplah bermasyarakat supaya di waktu kita susah, ada yang sudi membantu dan mahu berkongsi cerita. Orang yang mempunyai masalah dan tidak menjumpai tempat meluahkannya akan merasa bebanan, dia akan merasai kehidupan di dunia terlalu berat dan sarat dengan masalah. Perasaan ini jika tidak dikawal boleh menyebabkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diduga. Justeru, untuk bangkit semula kita harus mencari teman dan rakan yang dipercayai dan akan bersama-sama melayari kehidupan dengan kita.

Ujian : Bukan Untuk Dikesalkan

"Pernahkah anda rasa keseorangan, rasa tidak mempunyai sesiapa, rasa yang hidup anda sudah tidak berguna?"

Kepulangan anda ke kampung halaman tidak sangat bermakna. Orang lain hidup dalam keadaan bahagia dan gembira dengan keluarga, anda pula rasa tertekan. Kawan yang dulunya sama-sama bergelak ketawa, kini menjadi lawan. Janji-janji manis mahu sehidup semati bersama kekasih kini menjadi cuka kehidupan yang cukup perit untuk ditelan.

Sesungguhnya Allah S.W.T, Maha Mengetahui. Justeru, usah dikesal dan dirungut jika ujian datang tanpa disangka dan tanpa diminta. Hadapinya dengan penuh ketenangan dan percaya yang Dia akan sentiasa bersama kita selagi kita percaya. Tiada siapa yang boleh memberi jaminan bahawa kita akan kekal menjadi diri sendiri tatkala kita berada di puncak. Kita mungkin berubah tanpa kita sedari, namun segala sesuatu yang akan berlaku esok sudah berada di dalam genggaman-Nya.

Allah S.W.T mencintai kita lalu dia memberi ujian untuk melihat sejauh mana kesabaran dan keimanan kita sebelum kita mencapai ke puncak. Tujuannya, agar kita sentiasa mengingati-Nya dalam perjalanan kita mencapai impian diri. Namun manusia, seringkali melupakan tanggungjawabnya sebagai hamba sewaktu senang. Apabila musibah datang, barulah mahu diingati pencipta-Nya dan pada waktu ini, bibir mula tidak kering dari meminta pertolongan Allah S.W.T, meminta agar diberi kesabaran dalam menempuh ujian-Nya. Baru kita ingat akan musibah itu ialah ujian. Di waktu senang, kita lupa tentang ujian daripada Allah S.W.T untuk melihat masih bolehkah kita mengingti-Nya atau terus hanyut dalam kesenangan hidup di dunia.

Namun, selalu kita kehairanan. Sudah letih bibir menyebut nama Allah S.W.T, meminta agar diberi pertolongan dan kekuatan untuk bangkit semula daripada kegagalan. Hidup ini terasa perit dan jerih tetapi sayang, doa masih tidak dimakbulkan. Jadi, adakah kita mahu berputus asa? Usah begitu kerana Allah S.W.T masih mahu kita merintih kepada-Nya sebelum doa kita dimalbulkan.

Kita sudah lama hidup dalam kesenangan jesteru apabila jatuh, Allah S.W.T memberi masa yang lama dan panjang untuk bangkit semula dengan harapan agar kita sedar dan bangun daripada tidur yang panjang. Jadi, apabila kita sudah berada dipuncak semula, kita tidak akan mengulangi perkara yang telah berlaku yakni hanya mengingati Allah S.W.T di waktu susah.

Firman Allah S.W.T :

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لا يُفْتَنُونَ (٢)وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ

Maksudnya : Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah S.W.T mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."

(Surah Al-Ankabut : 2-3)

Jadi ingatlah, yang penting di dalam kehidupan adalah sejauh mana kita telah melangkah dari tempat kita bermula. kita tidak punyai pilihan untuk menentukan tempat kita bermula kerana itu adalah takdir Allah S.W.T tetapi kita mempunyai kemampuan untuk ke mana dan bagaimana kita melangkah. Di dalam langkah kita itu, pasti akan diberi ujian. Namun, ujian itu bukan untuk ditangisi dan dikesalkan tetapi untuk menguatkan keimanan kita kepada Allah S.W.T.

- Artikel iluvislam.com


No comments:

Post a Comment

jangan lupa untuk tinggalkan jejak!!!

Related Posts with Thumbnails