hadith of the day

pendokong

22 February 2011

berjuang kadangkala perlukan pengorbanan

::deenulfareast :: sekadar renungan :: deenulfareast

Alhamdulillah, berakhir minggu yang memenatkan. 3 hari berturut-turut dalam minggu yang berlainan. Test 1 bagi 3 subjek yang diambil semester ini. Tinggal lagi 1 subjek. Kata pensyarah, tangguh ke bulan 3. Bagi peluang untuk study lebih-lebih sedikit. Beliau amat memahami dan terbuka kepada pelajarnya, walaupun berbeza agama. Kadangkala saya segan yang teramat jika mahu dibandingkan antara perilaku saya dan perilaku beliau. Walaupun, ramai dalam kalangan pelajar kursus saya khabarnya tidak senang dengan cara pengajaran beliau, tetapi tidak bagi kumpulan saya. Kami seumpama sudah lama mengenali seperti beliau telah mengajar kami sejak di semester 1 lagi. Walhal kami sudah di akhir semester untuk melengkapkan pengajian M.Sc (Engineering) by research.

Bukan itu yang saya cuba sampaikan sebenarnya. Sekadar selingan. Renungkan ayat di bawah...

ูŠَุง ุฃَูŠُّู‡َุง ุงู„َّุฐِูŠู†َ ุขู…َู†ُูˆุง ุฅِู† ุชَู†ุตُุฑُูˆุง ุงู„ู„َّู‡َ ูŠَู†ุตُุฑْูƒُู…ْ ูˆَูŠُุซَุจِّุชْ ุฃَู‚ْุฏَุงู…َูƒُู…ْ

Ertinya : “Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (QS. Muhammad : 7)

Saya tertunduk pasrah. Cemas sungguh hati ini bila memikirkan akademik dan program dakwah yang menjadi taruhan. Tidak boleh diabaikan keduanya. Dakwah no 1 tetapi Akademik bukan no 2, 3, 4, dan seterusnya. Apalagi kini sudah berada di semester akhir. Semestinya mempunyai semangat pendorong yang tinggi untuk menaikkan pointer akademik. Kedua-duanya perlu bergerak seiring. Ketika sedang sibuk mengejar program dakwah, sempat kadangkala menoleh bahan ilmiah yang ingin dikaji. Tetapi penumpuan tidaklah sefokus mana. Hanya membelek-belek, memusingkan highlighter, dan menconteng gamabr rajah. Semuanya dilakukan sekadar untuk memenuhi syarat. Fikiran pula menerawang jauh memikirkan program dakwah yang belum siap lagi pengisiannya, ditambah pula masalah dari aspek pengurusan, semua kerja dilaksanakan di saat akhir, memandangkan program ini wajib dilaksanakan semester ini, hasil pembatalan pada semester lepas. Terima mesej daripada ketua biro, untuk adakan perbincangan terakhir sebelum program berlangsung. Segala perancangan telah tersedia, tunggu hari program sahaja untuk dilaksanakan. Solat Hajat, Solat Dhuha, & Solat Taubat tidak putus dikerjakan setiap hari. Pergantungan kepada Allah seharusnya tinggi. Teringat kata-kata sahabat, "dalam kita sibuk mentarbiyah orang lain, tanpa kita sedari, kita sebenarnya mentarbiyah diri sendiri juga,".

Hati yang terdorong nafsu tanpa menggunakan akal nakal menghasut untuk membawa semua nota yang terlibat dalam peperiksaan ke tempat program. Gayanya hendak memenuhi masa yang kosong dan terluang antara pengisian program yang terlampau padat itu. Saya bersyukur, kerana semua nota itu berbentuk softcopy yang lengkap berada di dalam latop saya. Diri ini berdoa agar dimudahkan untuk membahagikan masa sebaiknya. Namun perancangan Allah mengatasi segalanya. DIA seakan mentarbiyah diri saya agar menumpukan sepenuhnya kepada program dan hubungan baik sesama ahli biro serta jawatankuasa yang lain. Tiada sekelumit pun ingatan saya terhala atau dilemparkan kepada nota studi saya. Sebaliknya, semuanya ditumpukan kepada pelaksanaan program. Malahan di waktu terluang pun, saya dan ahli biro lain lantas membantu biro-biro yang memerlukan bantuan. Begitu juga dengan situasi biro lain terhadap biro saya. Alhamdulillah, kerjasama kami sepanjang program berlangsung erat.

Alhamdulillah. Program 'Induksi Fasilitator - Badan Mahasiswa Islam (If-Bmi)' selesai jua akhirnya. Moga peserta beroleh ilmu yang bermanfaat dan boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Tiba menjejakkkan kaki di kampus, tidak keruan dibuatnya. Dengan memikirkan esoknya akan berlangsung 1 test diikuti dengan hari seterusnya juga dengan kuantiti yang sama, saya terduduk. Tunduk. Seraya memanjatkan doa mohon agar dipermudahkan segalanya. Saya berusaha untuk menghabiskan bacaan dalam persediaan menghadapi test tersebut. Namun, keletihan dan mengantuk yang amat sangat hasil daripada penangan program itu mengatasi segalanya. Akhirnya saya terlelap tanap menghabiskan bacaan.

Bayangkan pagi esoknya, saya bangkit dalam keadaan yang tidak menentu, haru-biru memikirkan test yang bakal berlangsung jam 11 am nanti. Tinggal 4 jam yang singkat untuk menghabiskan bacaan. Sesudah solat Subuh berjemaah, persiapkan diri untuk ke kuliah. Sempat memanjatkan kesyukuran dengan Solat Dhuha dan Solat Hajat. Sedia ke kuliah, dengan niat menghabiskan bacaan di sana. Alhamdulillah, teman-teman sekuliah banyak memberikan semangat. Saya tidak jua sempat menghabiskan bacaan, hanya sekali imbas semua nota tersebut dan menghafal isi-isi penting. Bayangkan fakta penuh di dalam satu slaid yang keseluruhannya sebanyak 112 slaid + 23 slaid tambahan. Tawakkal yang tinggi dipanjatkan tika melangkah memasuki bilik peperiksaan.

Rasanya, dapat bayangkan bukan jika kurangnya persediaan menghadapi pepriksaan dan akibat studi saat akhir? Namun perkara itu menjadi sebaliknya kepada saya. Alhamdulillah, soalan demi soalan berjaya ditempuhi dengan jayanya. Apa yang saya bincangkan bersama teman sekuliah dalam tempoh masa yang singkat itu juga banyak membantu. Sujud syukur saya pada petang itu! Alhamdulillah, perkara sama jua berlaku ketika saya menjawab test pada hari berikutnya.

Tiba di rumah, saya termenung sendirian. Lantas teringatkan ayat di awal entri tadi. Bagaimana nikmat rasanya mendapat pentarbiyahan daripada Allah. Kita berkorban kerana agama-Nya, DIA pula membalas pengorbanan kita dengan rezeki dan jalan yang kita tidak sangka-sangka. Bersangka baiklah dengan Allah, yakni Tuhanmu dan Tuhan sekalian Alam...

Teringat pula kisa Imam Hasan al-Banna yang diceritakan oleh seorang ustaz dalam kuliah subuh tahun lalu. Bagaimana Imam hasan al-Banna yang ketika itu masih bergelar seorang mahasiswa, namun sibuk dengan tugasan dakwah yang memaksanya untuk bekerja lebih masa kepada studinya. Sehingga dia dihadapkan dengan suatu peperiksaan di mana jika dia gagal, dia akan mengulang semula subjek itu pada tahun mendatang. Sehari menjelang peperiksaan, dia terlampau sibuk dengan tugas dakwah, dipanggil sana, dipanggil sini, imamkan sana, imamkan sini, taujihad sana dan taujihad sini, malah operasi di sana-sini. Sehingga ke lewat malam barulah tiba ke rumah. Itupun sempat lelap selama dua jam sebelum bangkit untuk Qiammulllail dan persediaan peperiksaan dalam tempoh masa yang teramat singkat. Namun dia berjaya sebagai slaah seorang pelajar terbaik keseluruhan dalam subjek itu. Rakan ikhwannya kehairanan, lantas DIA mengkhabarkan bahawa, ketika dia terlelap akibat keletihan, dia bermimpi berada di atas sebuah bahtera yang tidak jelas ke mana destinasinya. Dalama bahtera itu, ada seorang guru yang mengajarnya ilmu yang teramat luas, sebahagian ilmu itu beliau telah terjemahkan ketika menjawab peperiksaan itu!

Bukanlah saya yang selayaknya untuk menyamakan diri dengan riwayat hidup Imam Hasan ini., apa lagi dengan disertakan sifat riya', ujub dan takbur yang melampau. Namun sekadar ingin membuat perkongsian, bahawa kamu tidak akan miskin jika membela Islam, tidak kaan hina jika menjunjung Islam, tidak kaan rugi jika menaburkan bakti untuk agama Allah ini. Renungkan ayat daripada Surah Muhammad itu. Tetapi harus diingat, niat kita haruslah betul dan selaras dengan kehendak syariat. Tidaklah jika kita menumpukan kepada dakwah sehingga terabai akademik dan kita boleh berjaya kerana bergantung sepenuhnya kepada hujah ayat tadi, sementelah jua jika kamu hanya menumpukan kepada akademik semata-mata sehingga mengabaikan dakwah. Renung-renungkan dan Insya-Allah selamat beramal.

Sekadar Perkongsian,
Catatan 21 Februari 2011
bersamaan 18 Rabiulawal 1432H
Zainizam Mohd Zambry
Biro Pengurusan Aktiviti
Kelab Remaja Lestari (KRL)
Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP)

kurang sempurna jika seseorang ahli dakwah tidak mengenali dan menginsafi perjuangan tokoh gerakan Ikhwan Muslimin ini, antara tokoh yang boleh dijadikan idola selepas Junjungab Besar S.A,W., para sahabat/ain, taabi'in dan tazbi' taabi'in

selingan :: ni meter motor sekarang, sempat snap! [161616km] pada meter yg 0km/h dan minyak yang sudah mencapai takuk 'E', siapa sudi tambah minyak? :: selingan

nota sneakers :: pembetulan tajuk, berjuang sentiasa memerlukan pengorbanan, jika anda berkorban duit dan matawang, dan declare itu sebagai pengorbanan, dalam perjuangan membela Islam, anda silap, itu hanyalah sumbangan, pengorbanan lebih daripada itu lagi... sama-sama fikirkan... (T..T)o

14 February 2011

al-ulama' warithatul anbiya'

sources from UZAR

Seperti Al-Qaradawi?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

IMG_4821

Menghadiri pengajian intensif bersama Sheikh Al-Imam Dr Yusuf Al-Qaradhawi di Doha Qatar memberi seribu satu macam kesan dan semangat buat diri saya, tercapai juga hasrat untuk mengaji secara berdepan bersama Sheikh yang telah lama tersimpan sebelum ini.

Terkenang pada hari pertama, Sheikh menceritakan kepada kami liku-liku pengajiannya sehingga tertulisnya buku pertama beliau ‘Al-halal wal al-haram fil Islam’. Sebelum syeikh sampai ke majlis, Setiausaha ahli jawatankuasa penganjur, menceritakan pelbagai latar belakang Sheikh yang amat menarik perhatian. Berkenaan cara sheikh menulis kitab-kitabnya dan lain-lain.

Dari pelbagai yang diceritakan, ada satu perkara yang ingin saya sentuh dalam tulisan ringkas ini. Iaitu kebijaksanaan Sheikh Yusuf Al-Qaradawi yang terserlah sejak beliau di peringkat sekolah rendah lagi. Menurut info yang diberikan, Sheikh adalah tergolong dalam 100 pelajar terbaik seluruh Mesir sejak peringkat rendah lagi sehinggalah ke peringkat Universiti.

PILIHLAH PELAJAR CEMERLANG JADI USTAZ

Dari situ, saya kerap terfikir betapa perlunya seseorang ilmuan Islam itu dipilih dari kalangan pelajar-pelajar yang terkenal bijak dan rajin sejak peringkat rendah lagi. Malah sudah sekian lama, saya mencadangkan kepada pelbagai pimpinan NGO Islam termasuk PAS, agar membuat satu perancangan tersusun untuk melahirkan lebih ramai ulama Malaysia yang berwibawa, menembusi peringkat global dan berperanan besar.

Sebelum ini seringkali kita melihat, ibubapa yang mempunyai anak-anak bijak dan rajin serta memperolehi keputusan peperiksaan cemerlang, dijuruskan oleh ibubapa mereka ke arah menjadi doktor perubatan dan lain-lain bidang profesional berasaskan ilmu sains.

Keadaan dan kecenderungan sedemikian menjadikan jumlah pelajar berminda cerdas dan rajin JARANG dapat disalurkan menjadi seorang ilmuan DAN PEMIKIR ISLAM YANG HEBAT.

Teringat bagaimana Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi merupakan ‘cream of the cream’ ketika di Mesir, sejak kecil. Justeru, dengan pengajian bersungguh, penuh minat, ikhlas dan istiqamah, beliau mampu menjadi seorong ilmuan Islam dan daie yang terulung di dunia.

Saya amat berharap kepada sesiapa sahaja yang membaca artikel ini agar cubalah membentuk anak tuan dan puan yang terbukti berminat, rajin dan cerdas akal fikirannya untuk dibentuk menjadi seorang alim besar.

PROSES PERLU PLAN TERSUSUN DAN TERANCANG

Proses ini tentunya perlu kepada ibubapa yang sudah sediakan alim di bidang agam, atau jika tidak ia lebih mudah disusun dan dirangka oleh sesebuah organisasi, mempunyai dana khusus untuk itu dan sekumpulan pakar yang diberikan tugasan membentuk diri anak terbabit.

Saya teringat info yang diberi oleh seorang seorang pelajar Melayu yang telah menjadi doktor di Ireland dan kini sudah hampir menjadi pakar dalam bidangnya. Beliau mendedahkan bahawa proses untuk mencapai apa yang telah dan sedang beliau capai itu, banyak juga bergantung kepada doktor-doktor pakar di Malaysia yang menasihatinya selalu, agar beliau faham dan tahu bahagian teknikal apa yang perlu diperkukuhkan dan dimantapkan bagi memenuhi tuntutan kerjaya doktor pakar di Malaysia. Proses ini menuntut beliau untuk bertugas dan belajar di Ireland hampir 15 tahun.

Demikian, proses yang diperlukan jika kita ingin melahirkan seorang ulama bertaraf lima bintang di Malaysia, kita perlukan sekumpulan ulama sebagai mentor, yang boleh sentiasa memberi panduan, tunjuk ajar, bimbingan dan pemantauan agar pengajian yang dilalui benar-benar diarah dan berjaya sampai ke sasarannya.

Kita tidak mahu, pengajian mereka terpilih salah guru akhirnya menjadi seorang yang ekstrem yang bersifat pemecah berbanding penyatu umat dalam masalah yang bukan pokok.

INGIN JADI ALIRAN MANA INI?

Sebagaimana diketahui agak banyak juga pecahan-pecahan aliran pemikiran Ulama Islam dalam menanggapi dan memahami teks-teks Al-Quran dan Sunnah di Malaysia. Sehingga tergelar begitu banyak jenis aliran, kefahaman dan kumpulan. Masing-masing merasa mereka yang terbenar dan berada di jalan yang sohih, menafikan kebenaran pada yang lain.

Seperti wujudnya aliran salafi jalur keras (digelar Wahabi oleh pembenci mereka), Salafi sederhana, Salafi lembut, khalafi keras ( digelar Ahbash oleh pembenci mereka), sederhana dan lembut. Demikian juga Sufi tarekat, aliran hadith, Zahiri moden, Syiah, Tabligh dan sebagainya.

BANGGA DENGAN GURU & TEMPAT

Selain terpecahnya aliran sebagaimana di atas, kerap juga ditemui lepasan pengajian Islam yang taksub dan terlalu berbangga dengan universiti masing-masing, tidak kurang dengan Sheikh (guru) masing-masing.

Sehingga ke suatu tahap, tidak merasa apa yang dipunyai oleh individu dan kumpulan lain mampu dan sampai ke tahap keilmuan dan kefahaman mereka.

Keadaan ini menjadikan lulusan pengajian Islam dilihat sering berpecah dan bertempur hujjah sesama sendiri serta terabai akhlak mulia dan masalah lebih besar dan nyata di kalangan masyarakat awam.

Di tambah dengan keadaan masyarakat awam yang majoritinya masih malas membaca, berfikir panjang dan menilai secara penyelidikan. Keadaan di atas menjadi bertambah buruk.

Kumpulan masyarakat ini akhirnya, sering terikut-ikut cara 'pemalas' lalu mempakejkan kebenaran kepada hanya satu-satu kumpulan, selain mempakejkan kesalahan juga kepada yang lain. Bermakna, jika sudah dilabel seseorang individu sebagai 'tidak bersama kumpulan dan alirannya', semua ilmu dari sebelah sana TIDAK BOLEH dibaca atau difikirkan sama sekali, hanya layak ditolak walau perlu melalui takwilan yang tersasar agar kelihatan jahat pandangan tersebut.

Padahal, kebenaran dalam hal ijtihadiyyah itu boleh sahaja bercampur-campur di pelbagai pihak, Hanya Allah yang maha mengetahui kesemunya. Manusia hanya mampu berusaha mencari keputusan yang diyakini paling hampir dengan kasih Allah. Namun sukar untuk mana-mana pihak mendabik dada berkenaan kebenarannya dalam semua perkara khususnya dalam hal cabang fiqh dan lain-lain bidang agama.

Demikianlah Sheikh Al-Qaradawi mengajar kami agar tidak menutup pintu kebenaran di pihak yang lain, penilaian perlu dibuat secara adil, bukan emosi dan bertenang dalam apa jua topik keagamaan. Selain memahami status sesuatu isu yang dibincangkan itu berada dalam kategori qat'ie atau zhonni.

withsheikh

PECAH KERANA UNIVERSITI

Sedihnya apabila melihat terdapat lulusan timur tengah memandang rendah kepada lulusan tempatan, hanya kerana mereka dapat belajar dari guru berbangsa arab.

Graduan universiti tempatan pula ada yang menafikan kebijaksanaan graduan timur tengah, khususnya apabila mengetahui majoritinya pergi bukan dengan biasiswa kerajaan hasil keputusan terbaik, tetapi pergi atas belanja sendiri atau dermasiswa kerajaan negeri tertentu, setelah tidak mampu memperolehi biasiswa JPA atau Kementerian dek kerana keputusan SPM yang tidak melayakkan biasiswa diterima.

Haru melihat pandangan rendah di antara satu sama lain seperti ini berlaku, namun ia hakikat walau pahit ditelan.

Lulusan Mesir pula, terdapat sebahagian yang memandang rendah lulusan Jordan, Morocco Syria dan lainnya, almaklumlah mereka merasakan diri mengaji di institusi tertua pengajian Islam, dipenuhi ulama sejak seribu tahun yang lalu.

Lulusan Mekah dan Madinah pula, ada sebahagiannya merasa diri paling hebat almaklum mengaji di tanah Rasul tercinta, Mekah dan madinah yang penuh berkat. Hanya terpilih setelah proses interview dan menikmati biasiswa mewah kerajaan Arab Saudi.

Lulusan Jordan pula ada yang menganggap majoriti lulusan Mesir sebagai kurang kualiti, disebabkan pengajian mereka yang tidak bersistem, tiada kelas diwajibkan serta majoriti lemah di dalam bahasa arab fushah dan pelbagai alasan lagi diberikan.

Sebahagian lulusan Yaman pula merasa mereka lebih faqih dan faham berbanding yang lain

Sebahagian lulusan Pakistan merasa mereka lebih pakar di bidang hadis dari yang lainnya.

Dan senarai ini berterusan, sukar mencari penghujung. Padahal guru dan tempat belajar hanyalah sebab luaran kepada perolehan ilmu. Apa yang lebih penting adalah diri sendiri, keberkatan pengajian dan keikhlasan dalam menuntutnya.

Hakikatnya hal ini bukan sahaja berlaku di kalangan ustaz dan ustazah kecil di tanahair kita sahaja, malah di kalangan sheikh-sheikh arab yang dilihat alim juga ada memandang rendah kepada satu sama lain. Malah beberapa ilmuan di Syria dan Saudi sering melihat Sheikh Al-Qaradawi sebagai tiada ilmu dan pelbagai lagi.

HASIL MASING-MASING RASA HEBAT

Hasil masing-masing merasa diri lebih hebat, maka berlakulah pertembungan hujjah. Dmulakan secara perlahan, berubah menjadi keras, emosi, tiada akhlak. Berlakulah proses kecil memperkecil tahap ilmu di antara satu sama lain, mengutuk tempat pengajian satu sama lain dan sebagainya.

Ukhuwwah di antara golongan ini yang diharapkan menjadi model kepada masyarakat dan sepatunya dicontohi oleh masyarakat menjadi sebaliknya. Masjid dan surau tempat mereka dijemput ceramah dan berkuliah dijadikan medan berkesan untuk ‘membantai’ individu lain.

Masyarakat awam yang masih kegersangan ilmu dan keliru ini akhirnya semakin jauh, semakin keliru dan ragu, dan akhirnya memilih untuk memasuki salah satu kem dan memeriahkan permusuhan di antara satu sama lain. Adakah ini fungsi para lulusan agama ini?.

Gejala label melabel menjadi senjata antara satu sama lain. Label ‘WAHABI’ dan ‘AHBASH’ dan banyak lagi seringkali digunakan.

Kelihatan seolah tiada siapa yang boleh melunakkan pihak-pihak ini kecuali JIKA DAPAT DITAMPILKAN SESEORANG YANG MEREKA SEMUA YAKIN DAN HORMAT.

Menurut pengamatan sederhana, kelihatan lulusan mesir hanya akan hormat kepada seseorang yang juga pernah mendapat kelulusan dari tempat yang sama dengan mereka. Demikian Mekah, Madinah, Jordan, Yaman Pakistan dan lainnya.

LAHIRKAN ULAMA HASIL GABUNGAN PENGAJIAN

Hasilnya, mungkin jika kita ingin melahirkan seseorang ilmuan yang insaf adil, lunak dan mampu meredakan ketegangan dan perpecahan ini. Mungkin dari sekarang NGO-NGO Islam dan ibubapa perlu merancang untuk melahirkan ulama ulung Negara dari proses pengajian yang pelbagai.

Setelah proses saringan pelajar terpintar, cerdas dan rajin tadi dilakukan dari peringkat rendah atau menengah rendah.

NGO atau organisasi Islam terbabit bolehlah merangka plan penghantaran pengajian pelajar terpilih ini. Setelah rangka asas pengajian terpilih ini, objektifnya sasarannya, proses monitor dan semakan yang komprehensif disediakan.

Mungkin gabungan fasa pengajian seperti berikut boleh difikirkan. Selepas pelajar terbabit mencapai keputusan cemerlang di peperiksaan SPM.

1. Diploma Tahfiz di Darul Quran atau mana-mana pusat tahfiz terbaik. ( atau hafazan ini boleh diperolehi lebih awal di sekolah menegaha sebagai contoh)

2. Peringkat BA : Cadangan saya, menghantarnya ke mana-mana universiti di Jordan bagi tahap sarjana muda. Ini kerana bagi saya, kelulusan pensyarah-pensyarah universiti-universiti di Jordan biasanya adalah gabungan Phd dari Al-Azhar, Ummul Qura, Iraq, Jordan, Madinah, Syria dan lain-lain. Majoritinya dari Al-Azhar. Justeru, kepelbagaian latarbelakang pensyarah banyak membantu bagi melahirkan graduan yang berfikiran terbuka dan toleransi dalam kepelbagaian ijtihad mazhab dan aliran. Ditambah pula dengan sistem pengajian yang lebih tersusun dan penggunaan bahasa arab fushah yang sederhana.

Selain pengajian di universiti, perlu ada mentor yang memastikan pelajar terpilih tadi menghadiri pengajian-pengajian talaqqi dengan sheikh-sheikh teralim di Jordan khususnya di Amman.

Boleh juga ditambah jadual pengajian mereka dengan memberikan belanja yang cukup untuk mereka menghabiskan cuti semester dengan pengajian talaqqi di Syria di hadapan guru-guru terhebat di sana.

HASIL : Kita mengharap graduan ini tamat belajar dari Jordan dan Syria dalam tempoh 4 tahun dengan ijazah dan gabungan ilmu talaqqi di kedua-dua negara. Memperolehi kekuatan bahasa arab dan basic yang utuh dalam ilmu-ilmu Shariah sama ada bidang Fiqh atau Usuluddin.

3. Peringkat Masters : Cadangan saya, disiapkan sama ada di Universiti Al-Azhar atau Universiti Kaherah. Ini perlu bagi pelajar terpilih ini memperolehi kelebihan pengajian di mesir yang merupakan pusat ilmu Islam yang amat berpengaruh.

Pada masa yang sama, jika mampu, dinasihtkan pelajar ini menghadiri juga pengajian di Darul Ifta, Mesir. Harapannya, pelajar terpilih ini mampu menyiapkan kedua-dua Sarjana di Al-Azhar dan Darul Ifta’ dalam masa 5 tahun atau kurang.

HASIL : Diharapkan dengan tamanya pelajar ini dari bidang ini, beliau akan pulang dengan kemantapan pengajian ilmu syariah peringkat tinggi dari Mesir di kedua-dua Al-Azhar dan Darul Ifta.

4. Peringkat PhD : Menyiapkan PhD di Universiti Islam Madinah atau Ummu Al-Qura.

Namun halangan, biasanya universiti Islam Madinah dan Mekah sukar menerima graduan yang tidak berlatar belakang dari universiti mereka di peringkat BA dan MA.

Sesuatu perlu diusahakan untuk membolehkan pelajar terpilih ini memasuki universiti ini. Harapannya, kekuatan pengajiannya di Jordan, Syria dan Mesir tadi dapat disempurnakan lagi di tanah suci ini.

Disamping pengajian rasmi di universiti, alangkah baik jika terdapat mentor yang telah mampu menasihatkan pelajar untuk mempelajari ilmu dari cara talaqqi. Di musim cuti, jangan diizinkan peljaar ini bekerja sampingan atau pulang ke Malaysia, tetapi perlu merantau ke Yaman untuk mendapat luahan ilmu dari guru-guru di sana pula.

HASIL : Dalam tempoh 4-5 tahun, dijangka pengajiannya boleh tamat. Ketika itu, amat berharap ilmuan yang dikeluarkan dari proses pengajian Islam yang mantap di Jordan, Syria, Mesir, Madinah, Yaman dan Mekah, maka akan TERHASILLAH SEORANG ILMUAN YANG sangat berwibawa, lunak, hikmah dan dihormati oleh majoriti aliran yang terdapat di Malaysia. Malah bijak pula menyesuaikan diri dengan ilmu-ilmu kontemporari.

Bagi melengkapkan lagi pusingan pengajiannya, selepas menamatkan Phd, mungkin pelajar terpilih ini boleh menunut paling kurang dalam tempoh 6 bulan di Pakistan untuk menghadiri kuliah di Darul Ulum, mendalami pengajian hadis. Juga dihantar setahun ke United Kingdom untuk pengajian Masters ( hanya 1 tahun) di Institut Pengajian Tinggi di UK ( seperti di Markfield Institue of Higher Education, UK), bagi membolehkan beliau melihat dunia dan masyarakat yang berbeza dari tanah arab, disamping menggarap metodologi pengajian dan pemikiran di Negara barat. Disamping mengasah kekuatan bahasa Inggerisnya agar benar-benar beliau mampu berhadapan dengan pelbagai pihak kelak.

Bayangkan, jika kita mampu melahirkan ilmuan yang melalui proses ini, saya bersangka baik, individu tersebut mampu untuk meredakan pertengkaran aliran-aliran yang sering bertengkar, bersangka buruk dan berselisih. Disebabkan individu ini besar kemungkinannya bakal dihormati oleh kebanyakan aliran pengajian seseorang graduan ilmu Islam.

Hasil penilaian saya, tahap keegoan beberapa graduan agama di Negara kita sukar dineutralkan kecuali jika kita mampu melahirkan individu yang berpendidikan seperti di atas.

Namun tidak dinafikan, banyak cabaran yang merintang dan hasilnya belum pasti menjernihkan kedaaan, mungkin juga mengeruhkan lagi. Selain itu, proses di atas pastinya diragui oleh aliran-aliran yang telah wujud. Tentunya masih ada yang merasakan ‘individu ini adalah hasil tangan aliran itu’ justeru kita tidak terima dan sebagainya.

Cuma saya meyakini, kekuatan individu ini pastinya mampu serba sedikit merapatkan jurang yang telah wujud di kalangan graduan agama di Negara kita. Bukan hanya dengan tujuan peringkat nasional malah menjalar ke peringkat dunia. Berfungsi sebagai salah seorang ulama terulung di dunia hasil keluaran rakyat Malaysia.

MERANCANGLAH SAHABAT PERJUANG DI PLATFORM MASING-MASING

Kita sudah letih melihat, pengajian islam sering menjadi pilihan terakhir ibubapa setiap kali apabila memikirkan kerjaya anak-anak di masa hadapan. Kerjaya yang boleh menjana lebih banyak duit dan wang dan nama, sering menjadi keutamaan.

Akhirnya, agak ramai jumlah individu yang menjadi ustaz dan ustazah kekurangan kualiti ilmu. Disebabkan latar belakang mereka bukanlah dari jenis yang cintakan ilmu, cerdas dan rajin di dalam pengajian. Sejak dari pengajian peringkat rendah lagi terkenal dengan gagal dan ‘nakal’nya. Tiba-tiba dewasa menjadi ustaz, yang mengajar di masjid dan surau.

Bertambahnya jumlah graduan sebegini pastinya ada baik dan buruknya. Saya teringat berbincang dengan seorang sahabat yang bertanya bagaimana seseorang ustaz dan ustazah itu ingin muhasabah diri dan mengukur sejauh manakah tepatnya pandangan mereka dalam hal-hal agama.

Jawapan saya panjang, namun ringkasnya termudahnya, mana-mana ustaz-ustazah yang lahir dari pengajian universiti bolehlah musahabah diri dengan melihat kembali markah-markah peperiksaan mereka di universiti.

Benar, ia terlalu subjektif dan sukar untuk menjadi kayu ukuran. Tentunya markah peperiksaan semata-mata itu tidak mampu mencermin penilaian keilmuan seseorang dengan cara yang paling tepat, namun sekurang-kurangnya ia boleh member sedikit indikasi ukuran tahap cerdas pemikiran, hafazan, pemhana dan kerajinan seseorang individu itu semasa menjadi pelajar.

Bermakna jika, semasa tamat belajar dahulu di peringkat BA, MA atau Phd, markahnya adalah 50 %, mungkin beliau perlu sedar itulah peratusan kebenaran pandangan-pandangan fiqh dan agama yang disebarkan kepada masayarakat.

Jika 80 %, maka demikian juga tahap hampirnya dia kepada tepat. Jika hanya 46 %, maka besar jualah kemungkinan tersilapnya dia memberikan ilmu kepada masyarakat. Sama-sama kita muhasabah diri wahai para graduan agama. Agar apa yang kita berikan kepada masyarakat bukan berada di markah lulus tetapi markah cemerlang.

Atas sebab itu mungkin, majoriti institusi pengajian tinggi di seluruh dunia Islam meletakkan markah 75 % sebagai markah lulus bagi subjek-subjek bagi pengajian di peringkat tinggi MA dan PhD. Demikianlah sistem di Jordan, beberapa negara timur tengah dan juga universiti tempatan.

Ia memang perlu agar, keluaran pengajian tinggi di universiti-universiti ini bukan terdiri dari mereka yang hanya ‘cukup makan’ lulus di peringkat BA. Kerana mereka kelak perlu menjadi tenaga pengajar di universiti pula.

KESIMPULAN

Kita amat perlukan pelajar cerdas dan rajin sebagai bakal ustaz dan ustazah masa hadapan. Harapn tersebut memerlukan pernancangan dan memerlukan kos. Selain budget yang mungkin boleh diperolehi dari biasiswa kerajaan pusat atau negeri. Bagi menjayakan hasrat ini, pihak yang merancang memerlukan belanja lain agar plan yang digariskan dapat dilaksanakan.

Hasilnya kita berharap lahirnya ulama yang sangat tinggi kualitinya dewasa ini, seperti Al-Marhum Sheikh Abu Hasan Ali Al-Nadawi, Al-Marhum Sheikh Abul A’lA Al-Mawdudi, Sheikh Mufti Taqi Uthmani dan ramai lagi. Walau mereka bukan berbangsa arab, namun keilmuannya menembusi sempadan hormat dari ulama ‘Arab. Itu sesungguhnya sesuatu pencapaian yang amat sukar dicapai, namun mampu dicapai jika perancangannya melahirnya ulama sedemikian dilaksanakan dengan teliti.

Saya tidak berniat menyindir sesiapa, mana aliran dan mana-mana graduan dari mana-mana Negara dari tulisan ini. Hanyalah memberikan contoh sebenar dari pengamatan dan pengalaman di sekeliling agar kita sama-sama insaf. Namun, jika ada mana-mana aliran, kumpulan atau ustaz/ah yang terasa dengan tulisan ini, saya pohonkan kemafaan jika bahasanya kurang lunak dan elok.

Tentunya ia hasil kelemahan saya sendiri dalam usaha menyampaikan maksud yang diingini. Saya hanya mengharapkan kita sama-sama mampu melahirkan yang terbaik buat umat ini, sambil menyedari diri ini, mungkin tiada kemampuan mencapainya.

Akhirnya, jika ada mana-mana NGO dan ibubapa yang inginkan tenaga saya untuk membantu dalam perancangan ini, setelah mereka mempunyai pelajar terpilih, cukup ciri tadi, saya amat bersedia membantu setakat yang termampu, demi kebaikan ummah dan amal jariah diri untuk ke alam yang kekal abadi. Kegagalan kita merancang untuk melahirkan ulama ulung seperti Al-Qaradawi akan sentiasa menjadikan kita ketiadaan insan sepertinya.

IMG_4841

ciumqaradwi

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

8 Februari 2011

nota sneakers : kupasan yang hebat dari ustaz yang hebat, sama-sama kita ambil pengajaran insya-Allah...

10 February 2011

Buangkan Malu itu...

Semalam, sempat atajawwalu fil intarnet, dan tertarik dengan salah sebuah artikel yang mana kiranya saya ada sentuh dan berkait dalam entri dalama laman deenulfareast yang lepas iaitu semua dah faham ker???, yang mengisahkan situasi kefahaman manusia yang terlampau subjektif dikaitkan dengan perasaan malu yang menebal dan tidak bertempat... dan alhamdulillah, kali ini diterjemahkan dan dikupas dengan baik dalam artikel daripada sebuah laman web islamik yang terhangat di pasaran ini, sama-sama kita ikuti kupasannnya...


edited sources from iluvislam.com - Tak Apa, Orang Lain kan Ada

Ketika berada di dalam dewan kuliah, seorang rakan anda tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan oleh pensyarah. Rakan itu berdiri termangu-mangu disebabkan tidak pasti dengan apa yang perlu dijawabnya. Pensyarah membuka laluan untuk pelajar-pelajar yang lain bagi membantu menjawab.

Percaya atau tidak, waktu-waktu sebegini, kebanyakan pelajar yang berada dalam dewan tersebut masih teragak-agak sama ada untuk bangun memberikan jawapan atau tidak.

"Eh, betul ke ni jawapan aku ni? Buatnya aku bangun jawab, salah, tak ke malu aku nanti."

"Takpelah, nanti ada la orang bangun jawabkan."


Lepas Tangan

Anda pasti pernah mendengar atau membaca kisah Raja yang meminta rakyatnya memberikan madu sedikit seorang untuk dikumpulkan dalam tempayan besar di istana. Namun salah seorang rakyat mula berfikiran sebegini,


"Takpelah, aku seorang je yang letak air, orang lain mesti letak madu punya."

Apa yang terjadi kemudiannya? Tempayan besar itu dipenuhi AIR, bukannya MADU!

Dalam teori psikologi, terdapat satu istilah yang dinamakan Genovese syndrome.,berkait rapat dengan situasi dan kisah di atas.

Genovese Syndrome

Sindrom Genovese adalah satu fenomena di mana seseorang itu mengambil keputusan untuk tidak melibatkan diri atau memberikan bantuan dalam keadaan yang penting dan genting, dengan wujudnya bilangan orang yang ramai.

Ringkasnya, keadaan ini sama dengan peribahasa Melayu, lepas tangan.

Apakah bahayanya sindrom ini dalam masyarakat kita?

Belajar tidak aktif, bekerja tidak produktif, malahan berbincang atau bercakap pun sangat pasif!

Rata-rata umat kita 'menghidap' sindrom ini, sama ada sedar mahupun tidak. Apa tidaknya, mengambil bahagian dalam perbincangan tak mahu, bertanya soalan kepada pensyarah tak mahu, mengatakan sesuatu yang hak dan benar pun tak mahu! Alahai, jika begini, usahlah berkata mahu tolong saudara-saudara di Palestin, sebab semuanya itu hanyalah hasrat murni di dalam hati, takkan terjadi.


Buangkan sifat "tak apa, orang lain kan ada..."

Mahukah kita terus menjadi umat yang mundur, sering direndah-rendahkan oleh umat lain?

Puncanya? Tanya diri sendiri.

Artikel iluvislam.com

05 February 2011

1 nyawa sudah memadai... manfaatkan semahunya

kalau dulu berkenaan drama, kali ini novel pula...

Alhamdulillah, berkesempatan menelusuri novel karangan Novelis Thriller Nombor 1 Malaysia ::
Ramlee Awang Murshid, dalam karangan 9 NYAWA dalam mencari sedikit passion setelah berhempas pulas memikirkan sesuatu... sempat mengkoreksi wardrobe my eldest sister, dan koreksi berhasil dengan pertemuan sebuah novel yang agak menarik... mula-mula minta kebenaran dia dulu sebelum ambil, dan bertanya, "dah habis baca belum? best tak? pinjam?" jawapannya "ok... haha, tak habis baca lagi," spontan.

Kalau nak kupas jalan cerita, hurmm... panjang pula entri ni, tapi kalau nak cadangkan bahan bacaan, saya cadangkan yang ini, daripada bacaan novel cintun... jalan cerita banyak kepada flashback... tapi amat menarik dengan pengolahan yang bersahaja tetapi bombastic...

Sejujurnya, karya beliau yang lain juga ada saya ikuti, seperti MIKHAIL, trilogi cinta Bagaikan Puteri-Cinta Sang Ratu-Hijab Sang Pencipta, dan banyak lagi... inilah novelisnya...

nota sneakers :: tengah selongkar lagi, takut-takut terjumpa yang lain pula... tapi buku-buku yang sudah ada dalam pembacaan, tiba-tiba jadi tidak habis baca pula, berjangkit virus my eldest sis kot... sorry kak long!!!

kalau Januari dengan kemeriahan New Year, Februari pula?





edited from iluvislam.com

Menjelang bulan Februari, pasti ramai anak-anak muda yang sedang hangat dilamun cinta tidak sabar untuk meraikan ketibaan Hari Kekasih atau Hari Valentine yang jatuh pada tanggal 14 Februari. Bahangnya makin terasa.Kita boleh lihat banyak iklan, promosi dan tawaran hebat diadakan bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Kekasih. Bukan itu sahaja, lebih menarik lagi, pelbagai filem berunsur romance dihidangkan sepanjang bulan kekasih ini buat santapan si pencinta bagi menghangatkan lagi suasana bersama pasangan masing-masing.

Namun begitu, dalam sedar atau tidak, kita boleh lihat bukan sahaja masyarakat bukan Islam yang menyambut Hari Kekasih, malah umat Islam juga turut sama meraikan perayaan tersebut walaupun hari yang diraikan tidak terdapat dalam ajaran Islam.

Melihat pada fenomena ini, sambutan Hari Kekasih semakin mendapat sambutan dalam kalangan umat Islam khususnya golongan remaja. Lebih menyedihkan lagi, terdapat segelintir daripada mereka yang bertindak di luar batasan sehingga menimbulkan masalah sosial dalam masyarakat. Berlakunya perbuatan-perbuatan tidak bermoral seperti zina, minum arak, menghidu gam, menghisap ganja dan dadah secara tidak langsung mencerminkan keperibadian yang bobrok dalam kalangan remaja dan memberi gambaran negatif terhadap golongan remaja, dari segi agama dan negara, keluarga dan generasi yang akan datang.

Tindakan Penyelesaian

Bagi membina kekuatan dalaman remaja Islam hari ini serta menghindarkan mereka daripada terus menerus terjebak dalam unsur kurang sihat seperti hari kekasih adalah dengan mengukuhkan keilmuan dan keimanan. Penjelasan berkenaan larangan menyambut hari kekasih perlulah diwar-warkan kepada seluruh umat Islam khususnya remaja agar mereka faham apa sebenarnya erti disebalik hari kekasih atau Hari Valentine.

Para remaja hendaklah didedahkan dengan ajaran-ajaran agama supaya pegangan iman mereka sentiasa teguh dan tidak mudah goyah dengan gangguan manusia dan syaitan.

Keinginan remaja untuk mencuba sesuatu yang baru sememangnya tidak boleh dielakkan. Dan tidak dinafikan juga bahawa remaja juga mudah memberontak. Mereka masih muda dan tidak tahu arah tujuan sebenar hidup di alam sementara ini. Apa yang dikejar hanyalah keseronokan. Dan penulis tidak terkejut jika terdapat antara mereka yang memberikan pelbagai alasan demi membenarkan mereka menyambut perayaan ini.

Antara alasan yang lazim didengari dari remaja sekarang ialah menyambut Hari Kekasih secara tidak berlebihan, menyambutnya dengan hanya menghantar kiriman khidmat pesanan ringkas atau menghadiahkan sekuntum bunga sebagai tanda cinta. Tetapi, mengapa ia tidak dilakukan pada hari-hari biasa?

Selain itu, bukan besar atau kecil hadiah yang menjadi persoalan. Pokok pangkalnya adalah niat. Menurut sumber sejarah, Valentine Day ini telah menjadi acara keagamaan buat penganut Kristian. Apakah kita sebagai umat Islam ingin tergolong dalam golongan penganut kristian?

Di dalam surah Ali Imram ayat 31 telah menyebut "Katakanlah (Wahai Muhammad jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengetahui."

Ayat di atas bermaksud setiap kasih dan sayang yang ditetapkan oleh Islam tidak seharusnya disalahgunakan bagi memenuhi kehendak peribadi sesuatu pihak. Ia perlulah digunakan dalam suasana yang tidak bertentangan dengan syariat Islam dan boleh diterima pakai oleh masyarakat umum.

Oleh sebab itu, pengetahuan merupakan perkara yang penting dalam hidup supaya kita tidak mudah ditipu dan dipengaruhi oleh anasir-anasir luar yang boleh membinasakan diri kita. Jika ceteknya pengetahuan, maka benteng keimanan seseorang Muslim itu mudah rapuh sekali gus akan hilanglah jati diri dalam kalangan remaja Muslim.

Peranan Pihak Terlibat

Pergaulan yang mesra dan lemah lembut sesama ahli keluarga merupakan faktor yang boleh menyemai semangat kekeluargaan. Lakukanlah aktiviti secara bersama, Insya-Allah anak-anak muda ini pasti memahami bahawa kasih dan sayang bukanlah terletak kepada motif pemberian sahaja, malah lebih kepada mengekalkan hubungan baik serta dapat sama-sama menuju ke jalan yang diredhai.

Selain itu, pihak media juga hendaklah memainkan peranan yang penting dalam membetulkan semula fahaman remaja tentang hari kekasih. Ini kerana, media merupakan satu medium penyebar infomasi yang paling berpengaruhi oleh segenap lapisan penduduk.

Oleh itu, kesemua pihak yang terlibat hendaklah memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak mereka agar tidak menyambut Valentine Day. Tambahan itu, isikanlah hati mereka dengan ilmu-ilmu akidah dan akhlak supaya mereka dapat menjaga benteng keimanan dari menjatuhkan maruah mereka sebagai remaja Muslim. Subhanallah hil 'Azhim, Subhanallah wa bihamdihh...
nota sneakers : aksi di atas tidak sesuai untuk pandangan umum, sekali pandang sajalah... i-ALLAH beroleh rahmat, sekali kau pandang, jangan di ulang (^..^)v...
by the way, baru sahaja menyemak status deenulfareast ini di page rank google just for fun and information... terkejut!!! inilah hasilnya... wink2... 1/10!!!

Web Page URL: http://www.deenulfareast.blogspot.com
The Page Rank:


- 1/10
(the page rank value is 1 from 10 possible points)




01 February 2011

Terjahan Semasa, KERAS!

salam wbt...

isu semasa yang sempat di cakna buat sementara waktu sekembalinya ke tanah air petang semalam:
1. DUN Tenang
2. BANJIR di Selatan Malaysia
3. SUKAN Keputusan Piala Sumbangsih (Kelantan 2-0 Selangor)
4. Tragedi di MESIR (melibatkan pelajar MALAYSIA, termasuk sekumpulan kenalan saya)

tinggalkan seketika 3 isu di atas yang saya kira masih dalam keadaan stabil dan sudah ada pihak yang tampil membela, yang saya bimbangkan status isu yang ke empat masih dalam samar-samar lagi... saya begitu prihatin dan tertarik dengan kupasan daripada rakan blogger di Luahan Hati Mamat di bawah entri Kisah di Egypt... ikuti sorotannya...

nota sneakers : semalam baru sampai di rumah, esok petang sudah kena bertolak ke utara, membantu pembangunan program anjuran sahabat... moga diredhai... Ameen~

Related Posts with Thumbnails